BILLUND – LEGO menawarkan peluang untuk bermalam di Rumah LEGO yang baru dibuka di Denmark.
Syarikat pengeluar permainan dari Denmark itu telah bekerjasama dengan Airbnb untuk membolehkan satu keluarga untuk menetap di destinasi tarikan terbaru yang merupakan sebuah bangunan dipenuhi dengan 25 juta blok plastik berwarna-warni berkeluasan 12,000 meter persegi.
Ruangan bangunan tersebut merangkumi bilik tidur dewasa bersama dengan replika kucing, selipar, sebiji teko air kopi dan senaskah suratkhabar yang diperbuat daripada blok-blok LEGO.
Sementara di dalam bilik tidur kanak-kanak pula dilengkapi dengan patung beruang, lampu dan buku cerita yang diperbuat daripada blok-blok LEGO.
Di sebalik katil dalam kanak-kanak pula menampilkan latar air terjun yang berukuran enam meter dikelilingi oleh kolam yang kelihatannya tidak berkesudahan di mana ia setentunya juga diperbuat daripada blok-blok LEGO.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M14-A_061117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M14-C_061117.jpg)
“Saya cuba untuk merealisasikan apa yang tidak pernah dijangkakan oleh seseorang individu dan untuk merealisasikan sesebuah ruangan yang unik seperti landskap air terjun yang diperbuat daripada blok-blok LEGO jelas merupakan satu cabaran yang hebat namun ia tetap berjaya untuk ditangani,” jelas Pengurus Rekaan LEGO, Jamie Berard.
Usaha promosi itu hadir tatkala syarikat tersebut berusaha untuk memulihkan semula rekod jualannya di kala ia menurun buat pertama kali dalam tempoh masa 13 tahun.
Pada September lalu, LEGO telah mengurangkan sebanyak 1,400 jawatan atau lapan peratus daripada tenaga kerja berikutan daripada faktor keuntungan ekonomi syarikat yang menurun.
Bagaimanapun syarat utama bagi individu yang berhasrat untuk merasai sendiri keseronokan pengalaman bermalam di ruangan istimewa dari LEGO ini harus menyertai pertandingan dan menjelaskan antara impian ciptaan mereka sekiranya diberikan bekalan blok LEGO yang tidak terhad.
Peserta yang paling kretif dan cukup bertuah untuk memenangi pertandingan ini setentunya akan menikmati peluang untuk bermalam di tempat yang cukup istimewa di bawah pengawasan pakar yang telah ditugaskan.
Direka oleh arkitek yang berasal dari Denmark, Bjarke Ingels, Lego House telah mula dibuka pada akhir September lalu selepas memakan tempoh waktu pembinaan selama empat tahun.
Lokasi tempat yang cukup menarik itu terletak di pusat bandar Billund, sebuah bandar kecil di Jutland Denmark di mana syarikat pengeluar permainan itu beribu pejabat.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/M14-B_061117.jpg)
Antara rekaan menarik di tempat tersebut adalah pokok yang memiliki tahap ketinggian 15 meter diperbuat daripada blok LEGO dinamakan sebagai Tree of Creativity dan memerlukan tempoh masa pembuatan selama dua tahun dan tujuh bulan.
Menara pokok tersebut juga diperbuat daripada enam juta blok LEGO yang juga mencatatkan evolusi ciptaan syarikat permainan itu.
Pertandingan untuk menikmati pengalaman bermalam di rumah blok Lego itu dijangka berlangsung sehingga pertengahan November dan pemenang yang bertuah untuk memenangi hadiah itu dijangkakan bakal berpeluang untuk menikmati sendiri pengalaman berharga itu pada 24 November.
Ia bukan merupakan pertandingan pertama yang dianjurkan oleh Airbnb di mana pada tahun lalu syarikat tersebut turut menawarkan peluang untuk berpeluang di tempat menarik lain seperti bermalam berdekatan dengan kawasan akuarium ikan yu di Paris Aquarium dan Istana Dracula di Romania.
Pemenang yang bertuah untuk menimati peluang bermalam di rumah LEGO itu nanti disarankan untuk memakai selipar keselamatan bagi melindungi kaki mereka daripada berasa tidak selesa ketika berjalan di atas permukaan blok LEGO.
“Saya berharap menjadi individu yang terpilih untuk memenangi peluang berharga bermalam di rumah LEGO itu,” jelas Albert Landbo, kanak-kanak berusia tujuh tahun yang melawat ke taman itu bersama abangnya, Gustab dan ibu bapa mereka. – AP