Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meriahkan cuti panjang dalam negara

    Oleh Yusrin Junaidi –

    ‘Cuti Penggal 3 Persekolahan’ yang telah bermula pada 1 Disember bagaikan sebuah ungkapan yang paling dinanti-nantikan oleh para ibu bapa dan pelajar.

    Di samping boleh dimanfaatkan untuk maksud berehat, ia juga menjadi wadah untuk para ibu bapa membawa anak-anak mereka beriadah dan bersiar-siar sebagai inisiatif
    untuk mengisi hari-hari percutian sambil bergembira bersama keluarga tercinta.

    Bagi segelintir masyarakat Brunei, cuti persekolahan adalah salah satu peluang untuk melancong keluar negara, ini kerana tarikan promosi pakej pelancongan yang ditawarkan oleh agensi-agensi pelancongan.

    Tidak salah untuk berbuat demikian, namun apa salahnya juga untuk menukar prinsip sedemikian kepada perspektif sebaliknya iaitu melancong dan beriadah di dalam negara sendiri.

    AKTIVITI CUTI SEKOLAH DI NEGARA BRUNEI

    Di negara kita juga tidak kurang adanya tempat-tempat menarik dan sesuai untuk bercuti bersama keluarga, apatah lagi bulan Disember sinonim dengan musim buah-buahan tempatan.

    Pelbagai pihak di negara ini giat mengadakan pelbagai aktiviti jualan seperti Ekspo Produk Tempatan 2023 yang berlangsung di Dewan Bridex, Jerudong, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Sempena cuti ini, ibu bapa boleh mendedahkan anak-anak mengenai Negara Brunei Darussalam dengan membawa mereka melawat ke tempat-tempat menarik dan bersejarah. – GAMBAR OLEH YASUHIRO KOCHI
    Bawa anak-anak beriadah di pantai yang menjadi tumpuan ramai semasa musim cuti sekolah ini. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNADI
    Cuti panjang hujung tahun ini juga merupakan peluang baik untuk meneroka tempat-tempat peranginan yang terdapat dalam negara. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNADI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNADI

    Haji Sohaili bin Haji Mohidi dari RPN Kampung Meragang berpendapat, kita akan mampu menerapkan banyak pelajaran kesenian, budaya dan warisan bangsa serta negara dengan melawat ke tempat-tempat yang mempamerkan artifak atau peninggalan bersejarah seperti Muzium Alat-alat Kebesaran Diraja, Muzium Maritim, Muzium Kampong Ayer atau Galeri Dermaga Diraja, menyelusuri Kampong Ayer dan Jong Batu atau ke Pusat Sejarah Brunei, Pusat Dakwah Islamiah dan Balai Pameran Jabatan Mufti.

    Selain itu, ia juga boleh menjana ekonomi negara dengan aliran wang tunai domestik serta dalam menyokong hasil produk tempatan.

    “Paling tidaknya kita boleh juga membawa anak-anak bercuti balik kampung dan menginap di rumah ibu bapa dengan perancangan menarik untuk mengadakan aktiviti kekeluargaan, berkempen kebersihan di awal pagi, ziarah dan membersihkan kawasan perkuburan ahli keluarga, bersarapan resipi atau masakan kuih-muih tempatan.

    “Mungkin juga dengan mengadakan makan tengah hari bersama-sama seluruh ahli keluarga atau mengadakan beberapa permainan yang bersesuaian bersama-sama dengan hasrat untuk menambah erat pertalian dan keakraban kekeluargaan.

    “Banyak gambar-gambar atau video kenangan akan diabadikan bersama di samping juga kita menerapkan adat dan adab di dalam berkeluarga baik secara duniawi mahu-pun ukhrawi,” tambah beliau.

    FESTIVAL DISEMBER BRUNEI

    Pihak kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan juga tidak henti-henti mempromosikan pelancongan domestik dengan menggalakkan penduduk tempatan untuk melancong dan berbelanja di dalam negara menerusi penganjuran Festival Disember Brunei yang memasuki edisi ke-7 tahun ini.

    Festival selama sebulan ini mengetengahkan pelbagai aktiviti, termasuk pesta jualan dan ekspo, serta tawaran menarik yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan dan syarikat swasta yang ikut serta termasuk potongan harga atau promosi pakej-pakej pelancongan atau tempat-tempat riadah.

    Ia bertujuan untuk sama-sama mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai tempat pelancongan yang produktif, kondusif dan penuh panorama kerana sektor pelancongan juga bukan hanya mampu menjana ekonomi negara, malah mampu menjana pendapatan warga tempatan dengan produk dan idea masing-masing mengikut kemajuan dan perkembangan digitalisasi dan intigerasi Revolusi Industri 4.0.

    Setiap tahun, lebih 80 aktiviti disediakan sepanjang festival daripada penginapan hotel mewah dan mengalami pengalaman budaya, menyelam, dan banyak lagi.

    PELAN MELANCONG KE LUAR NEGARA

    Sementara itu, bagi sebilangan orang, bulan Disember merupakan peluang untuk bercuti ke luar negara.

    Bagi Dayang Aizen Zatul Hijanah, yang merupakan seorang guru, cuti ini beliau telah merancang untuk menyertai beberapa aktiviti dalam dan luar negara.

    Menurutnya, ketika dihubungi Media Permata, cuti penggal persekolahan akhir (penggal 3) ini adalah peluang berkumpul dengan keluarga, menyertai sukan tahunan kampung, menyediakan kelengkapan persekolahan sesi akademik 2024, berkunjung ke tempat-tempat menarik dalam negara di daerah lain dan akhirnya bercuti ke negara jiran, Sabah dan Sarawak.

    Dalam kesempatan itu, beliau turut mengongsikan beberapa tip dan panduan apabila membawa anak-anak melancong ke luar negara bagi memudahkan perjalanan agar merasa lebih selesa dan selamat.

    Sebaik-baiknya ibu bapa dapat mengatur waktu dan tempoh percutian itu dengan lebih awal agar segala perancangan dapat dilakukan secara rapi dan teliti.

    Di samping itu, tambahnya, ibu bapa juga harus menyedari bahawa tubuh anak-anak kecil setentunya tidak memiliki ketahanan fizikal dan imuniti yang sama dengan orang dewasa.

    Maka, elakkan untuk meluangkan waktu melancong yang terlalu lama kerana perbezaan suasana, perubahan cuaca dan iklim juga boleh memudahkan mereka untuk dijangkiti oleh penyakit lebih-lebih lagi penularan wabak COVID-19 masih berleluasa terutama sekali semasa musim keramaian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda