Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Sambutan Hari Kebangsaan terus diraikan melalui pelbagai acara, antaranya Majlis Khatam Al-Quran anjuran Surau Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal yang julung kalinya mengadakan acara bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan yang bertemakan Menjayakan Wawasan Negara itu, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.
Majlis khatam bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin tetamu kehormat diikuti bacaan Surah Ad-Duha oleh ketua imam surau tersebut diikuti bacaan Doa Khatam Al-Quran.
Selain meraikan Hari Kebangsaan ke-36, ia juga bertujuan untuk mengimarahkan surau dengan kehadiran lebih ramai jemaah, menjadikan negara sebagai Negara Zikir, mengembangkan syiar Islam di negara ini melalui aktiviti-aktiviti takmir masjid dan surau serta diharap menjadikan jemaah sebagai seorang hamba Allah yang sentiasa berdamping dengan Al-Quran dan meraih keberkatan daripadanya serta taat perintahNya.
Hadir sama pada majlis itu ialah pengarah dan pegawai dari KHEU, pensyarah IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal serta penduduk kampong.
