Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Menyedari kepentingan peranan institusi keluarga dalam menjamin kesejahteraan dan keharmonian negara, Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) 2019 akan diadakan pada 5 Mei dengan tema ‘Keluargaku Harapanku’.
Tema ini digunakan kembali memandangkan ia merupakan slogan Sambutan HKK sejak 2012 dan orang ramai telah mengenalinya.
Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil berkata, fokus utama sambutan tertumpu kepada perubahan mindset yang lebih positif, di mana setiap ahli keluarga lebih mengharapkan dan bergantung kepada ahli keluarga bukan sahaja semasa senang malahan apabila ditimpa masalah dan musibah.
Datin Paduka Dr Hajah Norlila semasa mempengerusikan sidang media, hari ini, menjelaskan bahawa format sambutan pada tahun ini merangkumi lima acara utama iaitu Majlis Kesyukuran Sembahyang fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran; Majlis Anakku Kesayanganku; Riadah Keluarga Harmoni; Majlis Perhimpunan Keluarga dan Kempen Mempromosi Keluarga Penyayang.
Beliau menjelaskan, seperti lazimnya, Sambutan HKK akan dimulai dengan majlis kesyukuran iaitu sembahyang fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Khas yang akan diadakan esok bermula pukul 5:45 petang.
Majlis diadakan secara serentak di semua masjid di seluruh negara dengan masjid-masjid tumpuan di setiap daerah.
Sementara itu, acara kemuncak sambutan ialah Riadah Keluarga Harmoni yang akan diadakan selepas Ramadan iaitu pada 4 Ogos di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan untuk berangkat menyertai Riadah Keluarga Harmoni terutamanya Riadah Berbasikal Keluarga Harmoni.
Riadah Keluarga Harmoni pada tahun ini akan diselajurkan dengan Riadah Berbasikal sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan 2019 yang diraikan setiap 1 Ogos bagi memberikan ruangan kepada para belia untuk sama-sama menjayakan HKK 2019.
Selain acara Riadah Keluarga Harmoni, Majlis Anakku Kesayanganku juga diadakan iaitu penyampaian hadiah penghargaan khas kepada anak-anak damit yang lahir bermula pukul 12 tengah malam hingga 11:59 malam pada 5 Mei di hospital utama seluruh daerah.
Acara berkenaan akan diadakan secara serentak pada 6 Mei di hospital di keempat-empat daerah.
Majlis Perhimpunan Keluarga juga akan diadakan pada tahun ini yang bakal dikendalikan di setiap daerah dan diselaraskan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui jabatan-jabatan daerah.
Bagaimanapun, tarikh-tarikh acara akan dimaklumkan kemudian.
Bagi menyokong dan memeriahkan lagi Sambutan HKK 2019, KKBS dengan kerjasama Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi mengalu-alukan penglibatan kedai-kedai makan untuk menawarkan pelbagai promosi dan pakej bertemakan kekeluargaan sempena HKK pada 5 Mei itu.
Syarikat-syarikat perniagaan seperti gedung-gedung perniagaan dan pasar raya untuk mengadakan jualan bersyarat bertemakan kekeluargaan di sepanjang bulan Mei dan Jun.
Dalam pada itu, syarikat-syarikat perniagaan juga dialu-alukan untuk menyertai Acara Jualan Murah Sempena HKK 2019 di sepanjang Ogos.
Para peniaga yang berminat untuk menyertai acara ini dikehendaki untuk mengikut garis panduan Peraturan-peraturan Harga Jualan Murah (bit.lysale HKK2019).
Untuk memudahkan dan menggalakkan penyertaan, JPKE telah meniadakan syarat minima potongan peratus dan stok barangan yang ditawarkan diskaun; dan kuota mengadakan aktiviti jualan murah sebanyak empat kali setahun tidak akan dikenakan.
Penyertaan akan dibukakan bermula Julai depan.
Beberapa acara sampingan juga akan turut diadakan oleh semua kementerian, majlis perundingan kampung, badan-badan bukan kerajaan dan syarikat swasta.
Semua pihak digalakkan untuk memeriahkan Sambutan HKK pada tahun ini dengan mengadakan aktiviti-aktiviti yang difikirkan bersesuaian dan mengongsikan bersama aktiviti mereka melalui Instagram @harikeluargakebangsaan atau #hkknbd2019.
Ini adalah untuk menyerlahkan lagi perpaduan senegara dalam menyambut HKK.
Pada akhir sidang media, Datin Paduka Dr Hajah Norlila menyeru rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang beragama Islam untuk hadir beramai-ramai ke majlis kesyukuran itu bagi sama-sama memohon keberkatan dan keredaan Allah SWT agar rakyat dan penduduk serta negara kita sentiasa terpelihara dan dilindungi dari segala perkara yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara dan keluarga yang disayangi.
Selepas sidang media, acara diteruskan dengan penyerahan poster Hari Keluarga Kebangsaan 2019 yang disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar dan diikuti dengan Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat, Dayang Rostinah binti Pehin Orang Kaya Seri Sura Pahlawan Dato Paduka Haji Mohd Tahir menyerahkan poster kepada Datin Paduka Dr Hajah Norlila selaku setiausaha bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HKK 2019. Majlis juga menyaksikan penyerahan poster kepada wakil di setiap kementerian kerajaan.
Turut hadir sidang media itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang yang menyampaikan taklimat mengenai majlis keagamaan dan Pemangku Pengarah Perkhidmatan Hospital, Kementerian Kesihatan, Dr Haji Azlan bin Haji Jaludin yang menjelaskan mengenai Majlis Anakku Kesayanganku.