Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Majlis Pembukaan Dikir Maulud Nabi Muhammad SAW sempena memperingati hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang disambut pada 12 Rabiulawal setiap tahun telah diadakan di Jame Asr Hassanil Bolkiah, semalam, sekali gus menandakan bermulanya pembukaan Dikir Syarafil Anam di semua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh tetamu kehormat dan diikuti dengan tazkirah bertajuk ‘Rasulullah Sebagai Uswatun Hassanah’ yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Unit Kaunseling dan
Kefahaman Agama (KAFA), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Yussof bin Haji Majid.
Turut hadir ialah Setia-usaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Adanan bin Haji Basar dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh.
Majlis dikir itu diadakan untuk menanamkan rasa kasih dan cinta terhadap Rasulullah SAW serta memohon ganjaran teristimewa dan syafaat bagi orang-orang yang berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW adalah amalan mulia dalam pembentukan jati diri individu Muslim.
Majlis itu juga adalah sebagai salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan pegawai dan kakitangan KHEU dengan jemaah masjid dan penduduk kampung.