Oleh Ali Imran Mohd Noordin
BANGI – Di samping memperbanyakkan ibadah dan mengumpul pahala sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, sesetengah umat Islam sudah mula sibuk membuat persiapan untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal nanti.
Antara yang menjadi persiapan utama sudah tentunya ‘baju raya’ dan umat Islam digalak mengenakan pakaian terbaik mengikut kadar kemampuan masing-masing pada hari raya. Selain Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih popular dengan nama Jalan TAR dan Kompleks PKNS Shah Alam, pusat komersial Bangi Sentral di Bandar Baru Bangi semakin menjadi tumpuan khususnya warga Lembah Kelang untuk membeli-belah.
Populariti Bangi Sentral ini juga membuatkan ramai pengusaha pelbagai jenama tempatan memilih lokasi komersial ini sebagai ‘lubuk pilihan’ untuk dijadikan ibu pejabat dan seterusnya membuka kedai mereka.
Dianggarkan lebih 100 pengusaha fesyen tempatan menjalankan perniagaan di Bangi Sentral. Bagi mereka yang mahukan pengalaman unik membeli-belah bagi keperluan hari raya, pusat komersial ini sudah tentunya menjadi destinasi pilihan.
Seminggu sebelum Ramadan, kawasan ini yang biasanya tenang dengan tiba-tiba berubah menjadi begitu sesak. Bukan sahaja orang ramai berpusu-pusu membanjiri kawasan membeli-belah ini, kenderaan juga kelihatan bertali-arus. Untuk makluman, Bangi Sentral turut digelar “Darul (Negeri) Tudung” kerana begitu ramai pengusaha tudung yang menghasilkan pelbagai jenis keperluan muslimah menjual produk mereka di pusat komersial ini.

Potensi perniagaan
Seorang daripada pengusaha tudung yang paling awal bertapak di Bangi Sentral ialah pengasas jenama tudung MarshmallowScarf, Puteri Maizura Razali. Menurut beliau, faktor persekitaran serta penduduknya membuat beliau yakin dengan potensi perniagaan pakaian muslimah di lokasi berkenaan dan menambah sejak memulakan operasi perniagaannya, jumlah pengunjung ke kedainya bertambah saban tahun.
MarshmallowScarf menghasilkan produk “instant tudung” dengan cetakan pelbagai corak eksklusif kontemporari sesuai dengan cita rasa khusus eksekutif muda. “Ketika mula berniaga di sini pada 2015, sasaran pelanggan saya ialah penduduk Bangi sendiri yang sebahagian besarnya dipercayai beragama Islam.
Bangi juga menjadi tempat pilihan ramai golongan muda dan professional untuk menetap. Selepas beberapa tahun, pelanggan dari luar Bangi turut berkunjung ke sini,” kata Puteri Maizura yang turut menerima kunjungan pelanggan dari Brunei dan Singapura.
Perkara ini disokong pemilik butik Bawal Exclusive, Yusmah Indrawati Yusup yang baharu sahaja membuka perniagaannya di Bangi Sentral pada November 2017. Produk utama beliau ialah tudung bawal dengan hiasan eksklusif batu swarovski dan harga bermula sekitar RM60.
Menurut beliau, kawasan ini sudah pun diiktiraf sebagai ‘bandar fesyen’ oleh Majlis Perbandaran Kajang sesuai dengan suburnya industri fesyen di kawasan ini.
Bahkan beliau sendiri yang pada awalnya hanya menjual dengan menumpang kedai rakan sebagai vendor telah mengambil langkah berani membuka kedai sendiri selepas melihat kawasan ini semakin menjadi tumpuan orang ramai yang cintakan fesyen, terutamanya fesyen yang patuh syariah.
Atas dasar semangat setiakawan, beliau turut membuka peluang kepada rakan-rakan beliau untuk menjadi vendor di kedainya, sama seperti sewaktu beliau sendiri mula berjinak-jinak dalam perniagaan di sini.
Kedai mesra keluarga
Bagi pengasas jenama tudung labuh ‘Uswah’, Nur Ilanah Abdullah, 31, memberitahu Bernama demi keselesaan pelanggan, kedai miliknya mengguna pakai polisi tidak berkasut di dalam kedai. Menurutnya, kebanyakan pelanggan datang bersama keluarga masing-masing dan amat penting untuk memastikan mereka merasa selesa terutamanya jika ada yang membawa anak kecil. Atas dasar itulah kedainya tidak melarang sekiranya ada kanak-kanak bermain di dalam kedai.
Selain itu, beliau turut mengambil peluang sempena kehadiran pelanggan yang ramai untuk menganjurkan sesi tazkirah di dalam kedai.
Dalam masa sama, Puteri Maizura berkata kedai miliknya menyediakan ruang menunggu bagi para suami dan taman permainan mini di dalam kedai.
Menyedari lokasi kedainya yang berada di tingkat atas bangunan, beliau turut menyediakan perkhidmatan pesanan melalui telefon dan penghantaran ke kereta bagi pelanggan yang tidak mahu naik ke kedai. Sempena jumlah kehadiran pelanggan yang biasanya tiga kali ganda berbanding bulan lain, banyak pemilik butik memanjangkan waktu perniagaan.

Antaranya adalah Mazlianul Yusma Masnan, pengasas bersama jenama pakaian wanita kontemporari, Mmbasic yang menyediakan pelbagai jenis blaus dan baju kurung fabrik kain kapas.
“Pada bulan lain waktu perniagaan kami bermula pukul 10.00 pagi dan tutup pukul 7.00 petang tetapi khusus untuk jualan menjelang hari raya, waktu perniagaan diubah dan dipanjangkan sedikit bermula 11.00 pagi sehingga pukul 10.00 malam,” katanya.
Walaupun momentum pembeli sudah mula dapat dilihat pada minggu pertama Ramadan, Mazlianul menjangka jumlah pelanggan akan meningkat bermula minggu kedua iaitu selepas hari gaji.
Sesetengah peniaga turut menjangka kemungkinan pelanggan akan mula membeli bermula 1 Jun selari dengan dasar penetapan kadar GST kepada sifar oleh kerajaan.
Kesedaran jenama
Sementara itu, pengasas bersama jenama anak tudung dan tudung sarung ‘Innersejuk’, Azrul Izzam Kamarul Zaman pula berkata walaupun syarikatnya tidak memiliki kedai sendiri di Bangi Sentral, penting bagi beliau untuk memastikan produk Inner sejuk dapat dijual di sana.
Keistimewaan anak tudung ini ialah menggunakan kain jenis “drichill” yang biasanya digunakan dalam industri sukan, tidak berpeluh dan tidak panas dan boleh digunakan untuk tempoh yang panjang. Ia dijual pada harga sekitar RM30 hingga RM35 sehelai.
Atas sebab itulah Azrul membina kerjasama pintar dengan pemborong yang mempunyai kedai di Bangi Sentral. Konsep kerjasama pintar ini tidak hanya terhad kepada operasi jualan semata-mata tetapi termasuk aktiviti promosi dan ganjaran pelanggan.
“Amat penting untuk kami membina kesedaran jenama. Sebagai pemain baru dalam industri, kesedaran jenama dalam kalangan pelanggan amat penting dalam usaha kami menghadapi saingan terutamanya daripada jenama yang sudah terkenal,” jelas beliau yang mengeluar dan menjual produknya sejak awal tahun ini.
Sebagai penjual pakaian dalam, Azrul mengakui beliau perlu bekerja lebih keras untuk menyedarkan orang ramai bahawa di samping mendapatkan pakaian luaran yang cantik dan bergaya, penggunaan anak tudung yang merupakan pakaian dalam wanita juga amat penting pada hari raya nanti. Oleh itu, selain promosi dalam talian, syarikatnya turut bekerjasama dengan ‘social media influencer’ dan ‘blogger’ dalam kempen pemasaran Innersejuk.
Meriah, sesak
Di sebalik kemeriahan orang ramai yang berkunjung untuk membeli-belah, timbul juga rungutan mereka yang tidak lagi mahu terperangkap dalam kesesakan jalan raya ketika berkunjung ke lokasi berkenaan.
Tinjauan penulis mendapati pihak berkuasa tempatan sudah mengambil tindakan drastik menyusun semula aliran trafik untuk memudahkan pengguna jalan raya dan jalan masuk ke kawasan berkenaan juga dilebarkan.
Jika perlu, mungkin “pengawal trafik” dapat ditempatkan di lokasi strategik untuk membantu mengawal dan melancarkan aliran trafik. Semoga pengunjung Bangi Sentral dapat menikmati suasana yang lebih selesa pada tahun ini dan peniaga juga dapat memperoleh jualan yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya. – Bernama