Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Meriahnya rumah terbuka Tahun Baru Cina

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 29 Jan – Setiap tahun Majlis Rumah Terbuka sempena Sambutan Tahun Baru Cina (TBC), Loo Soon Nin dan keluarga di Jalan Perakong di sini, begitu meriah dengan kehadiran hampir 1,000 orang pengunjung pelbagai bangsa terdiri daripada rakan-rakan, jiran-jiran dan masyarakat setempat di sini.

    Presiden Dewan Perniagaan Cina Daerah Belait, Loo Soon Nin, memberitahu Media Permata, beliau yang juga selaku Timbalan Pengerusi Majlis Perundingan Mukim (MPM) Seria, setiap tahun menjelangnya Sambutan TBC mengundang masyarakat kampung terutama sekali ahli-ahli Jawatankuasa MPM dan Kampung Seria dan Lorong Tiga Seria.

    Di samping Persembahan tarian Singa, sebagai tradisi sempena TBC, Majlis Rumah Terbuka Loo Soon Nin turut diceriakan lagi dengan persembahan-persembahan tarian tradisi masyarakat Iban dan demonstrasi silat daripada ahli-ahli Persatuan Silat Seria.

    Beliau yang juga selaku Pengerusi Komoditi Tanah Perkuburan Masyarakat Cina, serta Timbalan Pengerusi di Rumah Orang-orang Tua Pekan Seria, sudah tentu dikenali ramai dan bersempena TBC ini beliau mengambil peluang untuk bertemu dan beramah-mesra dengan kawan-kawan, rakan-rakan perniagaan, rakan seperjuangan dalam persatuan dan sebagainya.

    Beliau yang baru dinaikkan pangkat selaku Presiden Dewan Perniagaan Cina Daerah Belait, baru-baru ini, semasa ditemu bual melahirkan harapan supaya semua ahli dewan tersebut untuk terus mengeratkan kerjasama bagi menambah majukan lagi bidang perniagaan khususnya di daerah ini.

    Wong Ming Ching, bersama ahli keluarga pada Majlis Rumah Terbuka sempena Sambutan TBC.
    Wong Ming Ching, bersama ahli keluarga pada Majlis Rumah Terbuka sempena Sambutan TBC.
    Loo Soon Nin bersama isteri dan keluarga serta rakan-rakan perniagaan semasa Majlis Rumah Terbuka sempena Sambutan TBC.
    Loo Soon Nin bersama isteri dan keluarga serta rakan-rakan perniagaan semasa Majlis Rumah Terbuka sempena Sambutan TBC.
    Persembahan Silat turut diadakan pada Majlis Terbuka di kediaman Loo Soon Nin, di Jalan Perakong Seria.
    Persembahan Silat turut diadakan pada Majlis Terbuka di kediaman Loo Soon Nin, di Jalan Perakong Seria.

    “Tahun Ayam, menurut kepercayaan masyarakat Cina, merupakan tahun yang bertuah, kerana ayam merupakan haiwan yang rajin mencari makan dan bersifat cergas, sehubungan itu adalah diharapkan tahun ini akan membawa lebih kebahagian, kejayaan, kemakmuran dan perpaduan supaya semua usaha ke arah kemajuan akan berjaya,” katanya.

    Sementara itu, bersempena Tahun Baru Cina 2017, Presiden Persatuan Bola Keranjang Daerah Belait, yang juga merupakan ahli Jawatankuasa Tertinggi MPM dan Kampung Lumut, Wong Ming Ching turut menerima kunjungan daripada kalangan kawan-kawan dan sanak saudara serta penduduk persekitaran pada Majlis Rumah Terbuka yang diadakan di kediaman mereka di Kampung Lumut Satu, Mukim Liang di sini.

    Beliau semasa ditemui Media Permata melahirkan harapan supaya Tahun Ayam akan memberikan kemakmuran, dilimpahkan rezeki dalam suasana perniagaan yang dijalankan.

    Selain itu, beliau turut menyeru semua masyarakat Tionghua di negara ini supaya sentiasa taat setia dengan pemerintah negara, akur kepada undang-undang negara serta terus bersatu padu dengan membekalkan prinsip perpaduan dengan penduduk di negara ini.

    “Selain itu, sebagai rakyat di negara ini, kita perlu juga sentiasa menunjukkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan mendoakan semoga Baginda kekal karar memerintah negara,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda