BERLIN, 1 Julai – Canselor Jerman Angela Merkel dan partinya, Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) hari ini akan membincangkan rancangan bagi mengurangkan penghijrahan ketika pemberontak konservatif juga mengadakan pertemuan, dalam rundingan penting yang mungkin akan menentukan nasib kerajaan beliau.
Kerajaan Merkel dalam keadaan terdesak berhubung isu penghijrahan selepas membenarkan lebih satu juta pencari suaka ke Jerman sejak 2015.
Dasar itu telah mengundang bidasan dari rakan campuran parti konservatif Merkel, CSU dengan Menteri Dalam beliau, Horst Seehofer, juga ketua CSU malah mengancam akan secara sehala mengusir penghijrah-penghijrah di sempadan.
Jumaat lalu, 28 anggota Kesatuan Eropah (EU) membincangkan dengan panjang lebar perjanjian yang sukar dicapai untuk menangani penghijrahan dan mengelak krisis yang telah mengancam struktur gabungan itu.
Selepas itu, Merkel mengumumkan beliau juga telah mencapai perjanjian berasingan dengan Sepanyol dan Greece tentang menerima balik para pencari suaka.
Menurut dokumen yang dihantar kepada CSU dan rakan campuran, Parti Demokratik Sosial, Merkel juga memperoleh perjanjian serupa dengan 14 buah negara yang termasuklah Perancis dan negara-negara Eropah tengah yang amat mengkritik dasar penghijrah beliau, seperti Republik Czech, Hungary dan Poland. Hungary dan Republik Czech bagaimanapun semalam menafikan sebarang perjanjian seumpama itu telah dicapai.
Merkel juga mencadangkan penghijrah-penghijrah yang tiba di Jerman yang terlebih dahulu mendaftar di negara EU lain hendaklah ditempatkan di pusat-pusat penempatan khas dibawah syarat pengetatan, menurut dokumen itu lagi. – AFP