BERLIN, 29 Mei – Canselor Jerman Angela Merkel semalam menggesa negara Kesatuan Eropah (EU) supaya bersatu padu ketika menghadapi perbezaan pendapat tentang dasar dengan AS, keputusan Britain untuk meninggalkan blok dan cabaran lain.
Bercakap pada satu acara kempen yang diadakan di khemah bir Bavaria, Merkel mencadangkan sidang kemuncak G7 di Itali yang berakhir pada Sabtu telah berfungsi sebagai satu amaran.
Pemimpin-pemimpin G7 gagal mencapai satu persetujuan sebulat suara mengenai perubahan iklim selepas Presiden AS Donald Trump berkata beliau memerlukan lebih masa untuk memutuskan sama ada menyokong perjanjian iklim tersebut.
“Masa di mana kami boleh bergantung sepenuhnya pada orang lain sudah berakhir, sebagaimana yang saya alami dalam tempoh beberapa hari ini,” beritahu Merkel kepada kira-kira 2,500 orang yang berkumpul untuk mendengar kepada ucapan beliau dan gabenor Bavaria Horst Seehofer.
“Dan apa yang dapat saya katakan adalah kami warga Eropah mesti menentukan nasib kami sendiri,” kata beliau, menurut agensi berita.

Merkel menekankan keperluan untuk menjalin hubungan persahabatan berterusan dengan AS dan Britain dan juga menekankan kepentingan menjadi negara jiran yang baik “pada bila-bila masa, termasuk dengan Rusia, tetapi juga dengan negara lain.”
“Namun kami perlu tahu kami mesti berjuang untuk masa depan kami sendiri, sebagai warga Eropah, untuk nasib kami,” kata beliau.
Meskipun dasar “Amerika dahulu” oleh pentadbiran Trump dan kritikan berterusan terhadap lebihan dagangan Jerman, pemimpin-pemimpin G-7 di Sicily berikrar akan memerangi fahaman perlindungan, menekankan semula “komitmen untuk mengekal pasaran terbuka kami.”
Mereka juga bersetuju untuk mempertingkat tekanan ke atas Korea Utara, untuk menjalin kerjasama yang lebih erat dalam kempen memerangi keganasan, mengenai kemungkinan mengenakan lebih banyak sekatan ke atas Rusia berhubung peranan dalam konflik di Ukraine.
Namun sementara enam daripada tujuh negara G7 bersetuju untuk berpegang kepada komitmen mereka untuk melaksana Perjanjian Paris 2015 yang bertujuan memperlahankan pemanasan global, Trump berkata beliau memerlukan lebih banyak masa untuk memutuskan sama ada AS akan meninggalkan perjanjian tersebut.
Pentadbiran beliau berkata standard pengeluaran AS adalah lebih sukar berbanding standard yang ditetapkan oleh China, India dan negara lain, dan dengan itu telah merugikan perniagaan Amerika.
Selepas sidang kemuncak, Merkel menggelar rundingan iklim “amat sukar, jika bukan amat tidak memuaskan.” – AP