CHATEAUROUX, 14 JULAI – Tim Merlier memenangi peringkat kesembilan Tour de France di Chateauroux hari ini, selepas memintas saat terakhir menewasan pelumba Itali, Jonathan Milan dan Arnaud De Lie dalam pecutan dramatik.
Tiada perubahan dalam kedudukan keseluruhan apabila Tadej Pogacar kekal mendahului dengan kelebihan 54 saat ke atas Remco Evenepoel di tempat kedua, manakala bintang muda Perancis, Kevin Vauquelin, berada di tempat ketiga.
Ia merupakan kemenangan kedua buat pelumba pecut pasukan Soudal Quick-Step itu, selepas muncul juara peringkat ketiga di Dunkirk, sekali gus mencatatkan kemenangan peringkat ke-12 beliau tahun ini.
Dalam cuaca panas terik dan laluan mencabar dari ladang anggur Chinon, Van der Poel dan seorang rakan sepasukan melancarkan serangan awal dan membina kelebihan sehingga 5 minit 30 saat di laluan rata menuju ke Chateauroux.
Jonas Rickaert dianugerahkan gelaran pelumba paling agresif selepas mengekori Van der Poel sehingga 10km terakhir sebelum keletihan dan rebah di atas basikalnya.
Dengan gaya berlumba yang berani dan penuh semangat, Van der Poel terus menambah lagenda namanya di Tour de France meskipun dikejar semula pada jarak 700 meter terakhir – pujian tetap diberikan kepadanya, begitu juga Merlier.
Ketika Van der Poel berjaya dikejar semula, kelihatan Jonathan Milan hampir pasti meraih kemenangan keduanya berturut-turut, namun Merlier memecut dan bijak memintas pada jarak 50m terakhir, menjadikan ini kemenangan kedua dalam edisi 2024 selepas peringkat ketiga di Dunkirk, dan yang ke-12 musim ini.
Pertahanan gelaran Pogacar menerima tamparan hari ini, apabila rakan sepasukan pentingnya, Joao Almeida, menarik diri daripada perlumbaan dua hari selepas terjatuh di Mur de Bretagne yang menyebabkan tulang rusuknya retak. – AFP
