ULASAN OLEH RUZAINI HJ DAUD
MENAMPILKAN sebuah kisah penuh misteri dan sangat menarik untuk diikuti, siri drama Westworld merupakan idea asal Jonah Nolan dan Lisa Joy yang sentiasa dinantikan oleh penonton.
Kembali dengan musim baru, setentunya siri ini terus memaparkan konsep yang lebih menarik dan sarat dengan elemen provokatif.
Bersiaran setiap Isnin, jam 9 pagi bermula 23 April di saluran HBO (Astro 411 dan HD 431) musim kedua ini jauh lebih mengagumkan berikutan daripada jalan ceritanya yang tidak dapat dijangka.
Bintang utamanya, Angela Sarafyan yang melakonkan watak Clementine Pennyfeather berkongsi keterujaan dirasai menerusi naskhah terbaru ini.
Angela mendedahkan dia tidak tahu apa kesudahan siri ini kerana mahu bersama-sama penonton menikmati naratif.

“Musim pertama berjaya membuatkan penonton berimaginasi jauh dan memahami konsep cerita. Saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku dalam musim kedua. Apa yang pasti ia sarat dengan misteri.
“Saya sendiri belum menonton episod pertama dan tidak sabar menantikannya. Saya sudah terima episod pertama daripada produksi tetapi memutuskan tidak mahu menontonnya lagi.
“Saya mahu merasai pengalaman itu bersama penonton lain,” katanya.
Angela berkata dia semakin rapat dengan barisan pelakon dan tenaga produksi. Setiap hari di lokasi sangat menyeronokkan apatah lagi elemen hubungan dalam jalan cerita kali ini berbeza dengan musim terdahulu.
“Kita dapat saksikan perbezaan dari segi plot cerita dan ia banyak berkisar bagaimana mahu membentuk perhubungan. Musim lalu, kita dapat lihat cinta, persahabatan dan kepercayaan di antara Clementine dan Maeve.
“Ketika penggambaran, pelakon dan kru rapat seperti keluarga. Saya bersyukur dapat bekerja dengan mereka setiap hari. Meskipun perlu bangun seawal jam 3 pagi dan berlakon di padang pasir, saya tetap seronok.
“Saya percaya ia disebabkan oleh sikap Jonah dan Lisa yang baik hati, merendah diri dan bijak,” katanya.
Biarpun masih ‘hijau’, siri ini mencipta sejarah apabila mendominasi lima anugerah pada acara The Emmy Awards tahun lalu.
Ia termasuk Pencapaian Kreatif Terbaik Dalam Media Interaktif Untuk Program Berskrip, Penataan Rambut Terbaik Untuk Siri Satu Kamera, Mekap Terbaik Untuk Siri Satu Kamera, Adunan Bunyi Terbaik Untuk Siri Drama Atau Komedi dan Efek Visual Khas Terbaik.
Siri ini mengisahkan mengenai pengembaraan gelap terhadap kesedaran yang direka dan bentuk kelahiran baru di bumi, siri itu mendapat pujian ramai pengkritik drama TV.