Ulasan siri TV oleh Ruzaini Haji Daud
PENULIS skrip drama Que Sera, Sera dan The Village: Achiara’s Secret, Do Hyun-jung kembali lagi dengan sebuah siri drama terbaharu berjudul Children of Nobody.
Drama diarahkan oleh Choi Jung-kyu yang sebelum ini pernah mengarahkan siri drama Splendid Politics itu menampilkan Kim Sun-ah yang pernah membintangi siri drama Should We Kiss First sebagai teraju utama.
Selain itu, siri drama yang menampilkan genre drama dan misteri ini turut dibintangi oleh Lee Yi-kyung, Nam Gyu-ri, Cha Hak-yeon, Kim Young Jae, Na Young-hee, Oh Hye-won dan ramai lagi.
Ia mengisahkan mengenai Cha Woo kyung lakonan Kim Sun-a yang merupakan seorang kaunselor yang sering berusaha untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh kanak-kanak.
Dia menetap bersama keluarganya iaitu suaminya, Kim Min-suk lakonan Kim Young Jae, ibu bapanya dan juga anak-anaknya.
Malang ternyata tidak berbau apabila, Cha Woo-kyung telah terlibat dalam sebuah kemalangan yang secara tidak langsung turut menemukannya dengan seorang kanak-kanak misteri.
Menariknya, puisi yang ditemui secara tidak langsung dapat membantu untuk menjadi satu klu sebagai cara untuk merungkai misteri tersebut.
Lalu, bagi mengetahui kesudahan kisah dalam siri drama yang penuh dengan aksi drama dan misteri ini jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Children of Nobody sehingga ke penghujungnya.
