Friday, February 7, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Merungkai misteri pengguntingan tocang rambut wanita

    SRINAGAR – Ratusan lelaki muda yang dilengkapi dengan senjata seperti pisau, kayu pemukul kriket dan juga besi melakukan rondaan pada waktu malam di sekitar Kashmir sebagai langkah pengawasan dan berjaga-jaga setelah gejala misteri pengguntingan tocang rambut wanita di sekitar kawasan tersebut berlaku.

    Daripada 100 kes yang telah berjaya dibanteras oleh pihak polis sejak sebulan lalu, kebanyakan mangsa wanita menjelaskan bahawa mereka telah diserang oleh sekumpulan lelaki yang memakai topeng.

    Ada juga beberapa laporan yang menyatakan bahawa beberapa serangan berlaku di dalam rumah mangsa itu sendiri sehingga ia juga menarik minat Suruhanjaya Wanita yang dikendalikan oleh kerajaan untuk memberi amaran berhubung perbuatan yang tidak bertanggung jawab ini.

    Pejabat pilihan raya tertinggi di rantau itu, Ketua Menteri, Mehbooba Mufti menjelaskan bahawa kegiatan pengguntingan tocang rambut wanita di kawasan itu adalah usaha yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan histeria sekali gus memberikan kesan buruk terhadap maruah wanita di kawasan itu.

    Namun, pihak polis masih belum menemui sebarang suspek mahupun petunjuk berhubung motif terhadap serangan itu.

    Penduduk kampung dan pihak berkuasa mula berkawal bagi memastikan keadaan di kawasan mereka berada dalam keadaan selamat. – AP

    “Kami hidup dalam ketakutan,” jelas Tasleema Bilal, seorang wanita berusia 40 tahun yang juga merupakan mangsa pengguntingan rambut yang tidak bertanggungjawab itu ketika berada di rumahnya di Srinagar, bandar utama di rantau itu.

    Wanita itu juga turut menjelaskan bahawa dia telah berusaha untuk cuba menanggalkan topeng pada wajah lelaki itu namun ternyata lelaki yang melakukan perkara yang tidak bertanggungjawab itu jelas sangat kuat sehingga hampir mematahkan lehernya.

    Beberapa hari sebelum tragedi itu menimpa wanita itu, anak saudaranya yang berusia 16 tahun juga menjadi mangsa pengguntingan rambut misteri itu.

    Lebih teruk lagi apabila anak saudaranya itu terlebih dahulu dipukul dengan bata sehingga pengsan dan sebaik sedar di hospital dia jelas merasa sedih mengenangkan tocang rambut yang menjadi simbol kehormatan sudah tidak lagi ada di kepalanya.

    Kebanyakan mangsa wanita yang lain juga turut menjelaskan bahawa mereka turut dipukul atau disembur dengan alat penyembur pemedih mata terlebih dahulu sebelum rambut mereka digunting.

    Misteri pengguntingan rambut dalam kalangan wanita ini secara tidak langsung turut mengundang rasa kebimbangan di kalangan penduduk di rantau Himalaya yang rata-ratanya beragama Islam terutama selepas beberapa dekad konflik di antara pemberontak pemisah dan askar India.

    Insiden buruk yang sama juga pernah dilaporkan pada awal tahun di beberapa tempat di India termasuk di utara Haryana dan Uttar Pradesh namun ia tidak mengundang rasa panik sebagaimana yang dialami di Kashmir.

    Walaupun wanita Islam Kashmir secara tradisinya memiliki rambut panjang sebagaimana kebanyakan wanita di beberapa tempat lain di India namun mereka tetap melindunginya dengan tudung sesuai dengan prinsip agama.

    Pemimpin pemisah juga turut melancarkan kemarahan berhubung reaksi awal terhadap tindakan polis dan merasakan bahawa ia merupakan kerja tidak bertanggungjawab yang dilaksanakan oleh agensi yang berusaha untuk membendung populasi pemberontak Kashmir secara meluas menentang pemerintahan India.

    Di samping itu, sesetengah penduduk juga mencurigai pihak berkuasa malah turut mengesyaki bahawa para tentera dan polis juga terlibat dalam tindakan itu. “Kami tetap bertegas untuk mengetahui siapakah yang bertanggungjawab dalam melakukan kegiatan ini,” jelas Bilal.

    Jeneral Inspektor Polis, Muneer Ahmed Khan menekankan bahawa ia adalah merupakan satu pemikiran yang tidak masuk akal sekiranya ada yang berpendapat pihak berkuasa terlibat dalam aktiviti tersebut. Pihak berkuasa juga turut menegaskan untuk memberikan bayaran sebanyak AS$9,000 bagi mana-mana pihak yang berjaya mendapatkan petunjuk berhubung misteri tersebut.

    “Ia adalah penting untuk mengetahui motif penyebab terjadinya aktiviti tersebut berbanding mengetahui pelakunya kerana dengan mengetahui motif yang dapat membantu untuk memudahkan proses penyelesaian kes tersebut,” jelas Khan.

    Perkara ini bukan kali pertama dilaporkan yang menyebarkan rasa ketakutan di Kashmir namun ia juga pernah berlaku sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1947.

    Merujuk kepada sejarah ketika di tengah demonstrasi anti-India pada awal tahun 1990an, beberapa pihak melaporkan kawasan kejiranan mereka dihantui oleh entiti yang menakutkan. Hakikatnya, ramai yang menyalahkan komando paramiliter India ketika itu yang memakai kostum seperti hantu dengan tujuan untuk menakut-nakutkan penduduk setempat.

    Wanita Kashmir kesedihan setelah tocang rambut kebanggaan mereka digunting secara misteri. – AP
    Tocang rambut wanita panjang menjadi kebanggaan kepada kebanyakan wanita di Kashmir.

    Ketika insiden pengguntingan tocang rambut wanita mula dilaporkan pada awal Julai lalu di utara India, pihak berkuasa telah mula mengarahkan ahli psikiatri untuk menyiasat mangsa-mangsa yang terlibat dalam kes ini bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang gangguan mental.

    Rasa curiga berhubung halusinasi yang dihadapi oleh wanita semakin kuat tatkala serangan itu merebak ke Kashmir di mana konflik wilayah telah menyebabkan trauma psikologi yang meluas dan turut melibatkan isu lain seperti kecenderungan membunuh diri.

    Jumlah pesakit yang didaftarkan di Hospital Psikiatri Srinagar dari 1,700 ke 100,000 orang selepas konflik tersebut mula hangat pada tahun 1989.

    Satu pertiga daripada yang disoal selidik oleh doktor pada tahun 2006 menjelaskan bahawa mereka pernah terlintas untuk membunuh diri.

    Walaupun pakar kesihatan menolak idea yang menyatakan bahawa wanita berhalusinasi berhubung serangan itu, namun mereka tetap menantikan pengesahan saintifik bagi mengembalikan semangat penduduk kampung demi menghilangkan rasa kebimbangan di dalam diri mereka.

    “Kes ini jelas merumitkan lagi masalah psikiatri yang ada di sini,” jelas Dr. Mohammed Maqbool yang mengetuai Jabatan Psikiatri di Kolej Perubatan Kerajaan Srinagar.

    Seorang lagi sarjana yang mengkaji isu-isu psikiatri di Kashmir menjelaskan ia tidak sukar untuk mempercayai bahawa anggota tubuh badan wanita mudah menjadi sasaran dalam hal ini.

    “Menurut sejarah, rambut memang melambangkan simbol seksualiti dan ciri semangat feminin yang sangat berharga dan mudah terdedah dengan ancaman. Kegiatan pengguntingan tocang rambut ini jelas menjadi contoh bagi menyekat dan melemahkan lagi semangat para wanita untuk terus berkembang maju,” jelas Saiba Varma dari Universiti California, San Diego.

    Dengan misteri yang masih menyelebungi, kebanyakan penduduk Kashmir berhenti daripada terus melakukan aktiviti luar termasuk bersiar-siar di kawasan kejiranan terutama selepas waktu senja di mana ia secara tidak langsung turut menjejaskan pendapatan beberapa premis perniagaan.

    “Perniagaan kami telah menyusut hingga 10 peratus berbanding apa yang kami perolehi sebelum misteri pengguntingan tocang rambut wanita ini berlaku,” jelas pemilik kafe di Srinagar, Syed Mukhtar.

    Sementara itu, kaum lelaki juga secara bergilir-gilir melakukan rondaan pada waktu malam malah ada juga yang telah berusaha menangkap individu yang dipercayai sebagai suspek namun meraka adalah individu yang tidak bersalah, jelas pihak polis.

    Salah seorang lelaki berusia 70 tahun terkorban selepas sekumpulan pengawal kampung menyerangnya dan memukul kepalanya dengan bata kerana menganggap dia sebagai suspek misteri ini.

    Beberapa pegawai tentera dan pihak polis juga telah berjaya menahan beberapa individu yang mencetuskan keadaan huru-hara ataupun menyebarkan sebarang berita palsu. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda