Ulasan Siri TV oleh Zulkamal Haji Kamis
Menggunakan tema thriller, misteri dan penyiasatan, drama terbaharu dari Korea Selatan ini agak sedikit berbeza dengan mana-mana siri drama Korea yang lain.
The Lies Within baru sahaja disiarkan pada bulan Oktober ini dan disiarkan dalam saluran OCN iaitu setiap hari Sabtu dan Ahad selepas menggantikan drama terdahulu iaitu Strangers From Hell.
The Lies Within diarahkan oleh Lee Yong Jung manakala skrip drama pula ditulis oleh Jeon Young Shin dan Wong Yoo Jung. Drama penuh misteri dan penyiasatan ini dibintangi oleh beberapa pelakon hebat dari Korea Selatan iaitu seperti Lee Min Ki yang berperanan sebagai Jo Tae Sik dan Lee Yoo Young sebagai Kim Seo Hee.
Selain bintang-bintang tersebut, drama ini turut dibintangi oleh beberapa pelakon yang lain seperti On Joo Wan, Lee Joon Hyuk, Kim Si Eun dan Yu Jong Seok. Secara ringkas, drama ini mengisahkan mengenai gejala rasuah, konspirasi dan penyiasatan terhadap kematian seorang anggota dewan parlimen sekali gus membantu mencari anggota parlimen yang sudah hilang.
Plot ringkas
The Lies Within mengisahkan mengenai Jo Tae Sik di mana sebelum ini merupakan seorang detektif yang bersemangat tinggi namun sekarang dia berkeinginan untuk mencuba kehidupan yang berbeza. Dia sentiasa merindukan keadaan yang damai dan sunyi serta bebas daripada sebarang tekanan. Disebabkan itu, Jo Tae Sik meminta kepada pengarah polis bagi mengajukan permohonan untuk berpindah ke pejabat polis di sebuah perkampungan kecil di Korea Selatan.
Sementara menanti kebenaran untuk berpindah ke cawangan itu, Jo Yae telah bertanggungjawab untuk menyiasat kes kematian seorang anggota parlimen, Kim Seung Cheol. Menurut siasatan mendapati bahawa Kim maut disebabkan oleh kemalangan jalan raya namun bagi Jo, kemalangan itu masih belum jelas malah beranggapan se-suatu yang lain.
Apakah sesuatu yang lain itu, anda boleh saksikannya sendiri dalam drama bersiri dari Korea Selatan yang terbaharu iaitu The Lies Within yang disiarkan dalam saluran OCN.
