Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Merz, Macron kerjasama promosi ‘kedaulatan’ digital Eropah

    BERLIN, 18 NOV – Canselor Jerman, Friedrich Merz dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron bakal berganding bahu hari ini untuk mempromosi ‘kedaulatan’ digital Eropah serta mengurangkan kebergantungan kepada gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS), ketika persaingan kecerdasan buatan (AI) semakin meningkat.

    Kedua-dua pemimpin ekonomi terbesar Eropah itu dijadual mengemukakan gesaan tersebut pada sidang kemuncak di Berlin, yang turut dihadiri ketua-ketua eksekutif syarikat utama rantau ini, termasuk firma AI Perancis, Mistral, dan gergasi perisian Jerman, SAP.

    Dengan teknologi AI dijangka memainkan peranan semakin penting dalam pelbagai sektor, pemimpin Eropah kini memberi reaksi terhadap desakan agar benua itu mengawal hala tuju digitalnya sendiri dengan lebih tegas.

    Kebimbangan terhadap dominasi teknologi Amerika turut meningkat sejak kembalinya Presiden AS Donald Trump, yang sering mempersoalkan hubungan tradisional antara Washington dan negara-negara Eropah.

    Menteri Digital Jerman, Karsten Wildberger berkata kelmarin bahawa ‘mesej utama’ sidang berkenaan adalah ‘Eropah bersedia membentuk masa depan digitalnya sendiri, serta mengurangkan kebergantungan.’

    “Kita boleh mencapai kemajuan lebih baik jika bekerjasama,” katanya semasa menghadiri majlis pecah tanah pusat data bernilai 11 bilion euro (AS$12.8 bilion) di luar Berlin. – AFP

    Emmanuel Macron (kiri) menyambut Friedrich Merz di hadapan Pejabat Canseleri Negeri Saarland pada 3 Oktober lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda