Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Kementerian Kesihatan telah menerima makluman berhubung dengan penularan semula satu mesej di media sosial mengenai kejadian pokok tumbang yang berlaku di kawasan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bertarikh 16 Disember 2022.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, hari ini, memaklumkan kepada orang ramai bahawa mesej berkenaan merupakan maklumat lama dan tidak lagi sahih, dan tiada kejadian seumpamanya dilaporkan berlaku di mana-mana kawasan di hospital berkenaan.
Sehubungan itu, pihak Kementerian Kesihatan menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak menularkan semula mesej lama, dan hendaklah menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya kepada orang lain, bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham.
Kementerian Kesihatan amat menghargai kerjasama dan keprihatinan orang ramai dalam memastikan penyebaran maklumat yang tepat dan sahih.


