Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesej tular senarai pemohon Skim Perumahan Negara tidak sahih

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Jabatan Kemajuan Perumahan (JKP) mengambil maklum mengenai isu penularan mesej di media sosial WhatsApp pada masa ini yang memuatkan senarai nama pemohon Skim Perumahan Negara dengan tajuk KSPN(1).

    JKP dalam kenyataannya kelmarin memaklumkan bahawa satu senarai nama sebelum ini pernah dimuat naik ke laman sesawang rasmi JKP bagi tujuan Kemas kini Data Pemohon Skim Perumahan Negara (KSPN) pada April 2017.

    Walau bagaimanapun apa yang telah ditularkan baru-baru ini mengenai peruntukan perumahan bagi pemohon-pemohon Skim Perumahan Negara bagi kawasan Perumahan Negara Kampung Lugu adalah tidak sahih.

    Oleh itu, JKP menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai dan membuat sebarang spekulasi serta menularkan sebarang maklumat yang disebarkan melalui media sosial tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.

    Orang ramai diperingatkan bahawa sesiapa yang menyebarkan laporan palsu atau membuat kenyataan palsu, sama ada secara lisan atau bertulis atau dengan apa-apa cara lain, yang berkemungkinan menyebabkan kebimbangan awam adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Bab 34, Akta Ketenteraman Awam (Penggal 148) dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak $3,000 dan penjara tiga tahun.

    Bagi memastikan kesahihan sebarang maklumat yang berkaitan dengan JKP, orang ramai bolehlah menghubungi Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Perhubungan Awam, JKP melalui alamat e-mel info@hdd.gov.bn atau melayari laman sesawang rasmi JKP di www.housing.gov.bn

    Gambar Web Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda