DOHA, 4 FEB – Penjaga gol Meshaal Barsham adalah wira Qatar apabila tuan rumah dan juara bertahan itu menewaskan Uzbekistan 3-2 menerusi sepakan penalti kelmarin untuk mara ke separuh akhir Piala Asia bersama Iran yang mengalahkan Jepun.
Barsham melaku penyelamatan tiga kali dalam penentuan sepakan penalti selepas suku akhir dengan Uzbekistan berkesudahan 1-1 susulan 120 minit tanpa jaringan.
Pedro Miguel melengkapkan penalti kemenangan untuk Qatar di hadapan hampir 60,000 penyokong di Stadium Al-Bayt yang berbentuk seperti khemah di utara Doha.
Pemain-pemain Qatar meraikan kemenangan mereka dengan melambungkan Barsham ke udara pada penghujung perlawanan.
Qatar telah memenangi empat perlawanan sebelum ini pada kejohanan itu tetapi mereka diberi ujian yang lebih berat oleh Uzbekistan, yang dianggap sesetengah orang sebagai peluang keemasan untuk menjulang trofi.
Qatar membuka jaringan pada pertengahan babak pertama apabila kapten Hassan Al-Haydos memaksa gol sendiri daripada Utkir Yusupov, penjaga gol itu menepis bola ke gawangnya sendiri.
Tetapi Uzbekistan menyamakan kedudukan sejurus sebelum sejam apabila Odiljon Hamrobekov melepaskan diri daripada pertahanan Qatar dan melakukan rembatan ke penjuru gawang.
Kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk merampas gol kemenangan pada masa kecederaan separuh masa kedua, dan pemain Qatar, Almoez Ali juga hampir menjaringkan gol ketika masa tambahan hampir berakhir.
Separuh akhir pertama akan berlangsung pada Selasa apabila Korea Selatan yang diketuai oleh Son Heung-min bakal berentap dengan Jordan, sebelum Qatar dan Iran bertemu pada petang berikutnya. – AFP