Oleh Lyna Mohamad
Gambar oleh Bahyiah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Kompleks Membeli-belah Aman Hills telah bergerak selangkah ke hadapan dalam langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 dengan memasang Temperature Measurement Atomization Disinfection Channel, menjadikan kompleks berkenaan yang pertama melakukannya di negara ini.
Juga digelar Pintu Masuk Pensterilan, mesin berkenaan berfungsi sebagai pensanitasian seluruh badan sebelum pelanggan memasuki bangunan dan ia menggunakan semburan wap air yang selamat, diperbuat daripada bahan pensanitasian mesra kanak-kanak yang dibekalkan oleh Rentokil.
Orang dewasa perlu berdiri di kawasan yang ditetapkan bagi pemeriksaan suhu sebelum berjalan melalui mesin berkenaan dan berdiri selama beberapa saat untuk membolehkan pensanitasian seluruh badan, sementara itu, bagi kanak-kanak, pemeriksaan suhu badan dijalankan secara manual disebabkan ketinggian sensor kamera.
Wakil kompleks berkenaan menyatakan bahawa inisiatif itu dibuat untuk menyokong usaha kerajaan dalam memerangi pandemik yang sedang melanda negara dan selain daripada itu, tambah beliau, mereka ingin memastikan pengalaman membeli-belah yang selamat bagi para pelanggan.
Langkah berkenaan baru bermula kelmarin dan mereka telah menerima maklum balas positif daripada pelanggan dengan ramai daripada mereka teruja untuk mencubanya, tambah beliau.
Mesin berkenaan terletak di pintu masuk aras bawah tanah kompleks.