Wednesday, April 23, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesin syampu dikuasakan AI jadi perhatian

    GUANGZHOU, 23 APRIL – Sebilangan salun rambut di China telah memperkenalkan mesin syampu dikuasakan dengan kecerdasan buatan (AI) yang dilaporkan boleh mencuci dan membilas rambut pelanggan dalam masa 13 minit sahaja.

    Menurut beberapa saluran berita China, peranti pencuci rambut dikuasakan AI telah dikesan digunakan oleh beberapa salun rambut di Guangzhou, China, dengan sesetengahnya merujuk kepada populariti yang semakin meningkat itu sebagai ‘kegilaan syampu AI’, menurut laporan Oddity Central.

    Mesin inovatif itu dilaporkan bergantung pada sensor inframerah untuk mengesan kulit kepala pelanggan dan kemudian memilih syampu dan kaedah yang betul berdasarkan jenis rambut seseorang.

    Menurut pemilik salun rambut di Daerah Tianhe, mesin syampu AI menampilkan beberapa mod membasuh rambut seperti cucian laju, biasa, masa tambahan atau pancuran air, serta tiga tahap urutan kulit kepala yang berbeza. Selain itu, mesin tersebut juga mempunyai mod yang berbeza untuk pelanggan yang berambut panjang atau pendek.

    Apabila perkhidmatan automatik itu mula-mula dilancarkan, harga untuk satu sesi syampu AI ialah 9.9 yuan (A$1.35), tetapi ia telah meningkat hampir dua kali ganda kepada 19 yuan ($A2.60) kerana popularitinya. Sesi mencuci rambut biasa mengambil masa hanya 13 minit.

    Walaupun semakin popular, mesin syampu dikuasakan AI telah mendapat pelbagai reaksi daripada pelanggan, dengan sesetengahnya mengadu bahawa urutan kulit kepala terlalu menyakitkan selain mendakwa bahawa mesin berkenaan tidak melakukan kerja yang sangat baik.

    “Saya telah cuba dan ia tidak berguna, kulit kepala saya sakit,” komen seorang pelanggan di media sosial Weibo.

    “Ia hanya menyembur buih kemudian membilas rambut tetapi tidak sampai ke belakang kepala saya, dan ia juga tidak cukup bersih, saya perlu melakukannya secara manual,” tulis pelanggan lain.

    Walaupun dikritik, ramai pelanggan bersetuju bahawa, dengan harga yang rendah tersebut, perkhidmatan mesin syampu AI sekurang-kurangnya patut dicuba. – Agensi

    Antara pelanggan yang mencuba perkhidmatan berkenaan.- Oddity Central
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda