KAHERAH, 19 OKT – Mesir sedang berusaha dengan kerjasama rakan serantau dan antarabangsa untuk menganjurkan Persidangan Antarabangsa bagi Pemulihan Awal dan Pembinaan Semula Semenanjung Gaza, yang dijadualkan berlangsung di Kaherah pada November depan, lapor Agensi Berita Emiriah, Wam.
Menteri Luar, Imigresen dan Ekspatriat, Badr Abdelatty kelmarin berkata persidangan itu diadakan dalam kerangka usaha antarabangsa untuk menyokong rakyat Palestin dan membina semula Semenanjung Gaza.
Beliau berkata persiapan logistik dan teknikal sedang giat dijalankan bagi memastikan persidangan itu menghasilkan keputusan yang praktikal dan dapat membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin serta membina semula apa yang telah dimusnahkan oleh perang.
Menurut Abdelatty, persidangan itu akan membincangkan pelaksanaan pelan keamanan Arab-Islam dan pelan damai Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, khususnya berhubung pembangunan Gaza, sambil menyatakan harapan Mesir agar mendapat penyertaan aktif daripada pelbagai pihak dalam komuniti antarabangsa. – Bernama/Wam









