KAHERAH, 2 JAN – Mesir akan mengenakan cukai baharu ke atas telefon mudah alih yang diimport dari luar negara bertujuan untuk mengurangkan penyeludupan telefon pintar yang berleluasa ke dalam negara, kata Perdana Menteri Mesir Mostafa Madbouly kelmarin.
“Bilangan peranti yang memasuki negara melalui penyeludupan terlalu besar,” kata Madbouly dalam satu sidang media mingguan, sambil menambah bahawa ‘negara-negara mengambil langkah seperti ini untuk mengawal pasaran dan menggalakkan pertumbuhan industri tempatan’.
Mesir baru-baru ini mengenakan cukai kastam dan yuran sekitar 38.5 peratus ke atas telefon mudah alih yang diimport dari luar negara, yang berkuat kuasa mulai kelmarin. Bayaran cukai kastam dan yuran untuk telefon yang baharu didaftarkan mesti dibuat dalam tempoh tiga bulan.
Sistem cukai baharu itu tidak bersifat retroaktif dan tidak dikenakan ke atas telefon yang telah dibeli, sama ada secara tempatan atau luar negara dan diaktifkan sebelum tarikh tersebut.
Madbouly turut menyatakan bahawa lima syarikat multinasional telah membuka kilang pembuatan telefon mudah alih di Mesir untuk melindungi pelaburan tersebut serta menggalakkan pengeluaran tempatan. – Xinhua