Monday, April 7, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesir beri amaran terhadap kebisuan dunia

    KAHERAH, 6 APRIL – Mesir sekali lagi menegaskan pendiriannya kelmarin menolak sebarang cubaan mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka, sambil memberi amaran terhadap akibat perbuatan masyarakat antarabangsa yang membisu dengan perkembangan yang sedang berlaku di wilayah Palestin yang diduduki, lapor Agensi Berita Qatar, QNA.

    Perkara itu disuarakan dalam pertemuan Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty bersama delegasi daripada Pergerakan Fatah Palestin, ketika mereka membincangkan situasi semasa di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat susulan peningkatan ketara tindakan ketenteraan oleh Israel.

    Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Mesir menegaskan bahawa Abdelatty sekali lagi menyatakan penolakan Mesir terhadap usaha Israel untuk melemahkan perpaduan wilayah Palestin dan memisahkan Semenanjung Gaza daripada Tebing Barat.

    Mesir turut mengecam pencerobohan berterusan Israel terhadap Gaza dan Tebing Barat, dasar agresif yang diamalkan di rantau itu serta penggunaan kekuatan ketenteraan secara tidak seimbang yang jelas bercanggah dengan prinsip asas undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

    Abdelatty turut menegaskan penolakan Mesir terhadap tindakan keterlaluan yang berterusan oleh pihak penjajah Israel terhadap orang awam serta sikapnya yang bertindak seolah-olah berada di atas undang-undang.

    Jika Israel terus mengamalkan pendekatan sedemikian, ia akan meletakkan lebih banyak halangan terhadap usaha kewujudan bersama secara aman dalam kalangan rakyat di rantau ini, sekali gus memberi kesan buruk terhadap keselamatan, kestabilan dan peluang untuk mencapai keamanan yang berkekalan.

    Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Abdelatty membincangkan pelan pembinaan semula Semenanjung Gaza oleh negara-negara Arab dan Islam, serta menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuh perpaduan Palestin dan peranan penting pihak berkuasa nasional Palestin dalam merealisasikan aspirasi rakyat Palestin.

    Ini termasuk usaha mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap isu Palestin menerusi penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya. – Bernama/QNA

    Rakyat Palestin menunggu makanan di pusat pengedaran di Beit Lahiya, Gaza pada 16 Mac. Mesir beri amaran terhadap kebisuan dunia. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda