KAHERAH, 19 MEI – Mesir berjaya mendapatkan semula 21 artifak purba yang diseludup secara haram dari Australia, menurut Kementerian Luar Mesir kelmarin, lapor Xinhua.
Dengan kerjasama pihak berkuasa Australia, misi diplomatik Mesir di Canberra dan Sydney berjaya memperoleh semula 21 artifak yang dipamerkan di sebuah agensi lelongan, kata Kementerian Luar Mesir dalam satu kenyataan.
Kementerian itu menyatakan bahawa pemulangan artifak itu bertepatan dengan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik Mesir-Australia, menyerlahkan kerjasama kedua-dua pihak dalam melindungi warisan budaya dan membanteras penyeludupan artifak purba.
Menurut kementerian itu, Mesir telah berusaha keras untuk memelihara warisan negara dengan pihaknya memainkan peranan penting dalam mendapatkan semula artifak yang diseludup melalui kerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Antikuiti serta Majlis Tertinggi Antikuiti.
Mesir telah mempergiatkan kempen globalnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk mendapatkan semula artifak yang dicuri dan diseludup.
Negara itu hari ini mengumumkan kejayaan memperoleh semula 25 artifak yang mempunyai nilai sejarah dan seni yang tinggi, merangkumi pelbagai zaman tamadun purba Mesir, dari Amerika Syarikat. – Bernama
