KAHIRAH, 11 MAC – Mesir dijangka menerima AS$3 bilion pinjaman daripada Bank Dunia selepas negara itu mencapai perjanjian awal dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mengembangkan pengaturan pinjaman IMF, Menteri Kewangan Mesir, Mohamed Maait, memberitahu sidang akhbar, kelmarin.
Maait berkata perjanjian minggu lepas boleh membuka laluan kepada negaranya untuk menerima lebih AS$20 bilion dalam bentuk pembiayaan tambahan daripada rakan kongsi lain, termasuk Bank Dunia, Kesatuan Eropah, Bank Pembangunan Afrika, Tabung Kewangan Arab dan lain-lain.
IMF telah mengumumkan Rabu lepas bahawa perjanjian peringkat kakitangan telah dicapai dengan Mesir untuk mengembang pengaturan pinjaman institusi untuk negara itu, yang berada di bawah Extended Fund Facility (EFF), daripada 3 bilion kepada 8 bilion dolar, sebagai sokongan kepada reformasi ekonomi utama Mesir.
Maait mengesahkan perjanjian itu tertakluk kepada kelulusan Lembaga Eksekutif IMF yang dijangkakan sebelum akhir Mac. Pengumuman IMF dibuat selepas bank pusat Mesir mengapungkan mata wang tempatannya dan menaikkan kadar faedah sebanyak 6 peratus untuk menstabilkan pasaran pertukaran mata wang dan membendung inflasi tinggi.
Mesir telah bergelut untuk mengekang peningkatan inflasi bandar yang mencecah 35.7 peratus pada Februari, berbanding 29.8 peratus pada Januari, menurut laporan yang dikeluarkan Agensi Pusat Mobilisasi Awam dan Statistik (CAPMAS) Mesir, kelmarin.
Inflasi yang tinggi menyebabkan kenaikan harga dan kekurangan mata wang asing yang diperlukan untuk import.
Tetapi Mesir baru-baru ini menyaksikan aliran masuk wang tunai asing yang besar selepas ia menandatangani perjanjian pelaburan bernilai AS$35 bilion pada akhir Februari dengan Emiriah Arab Bersatu untuk membangunkan bandar peranginan baharu, Ras Al-Hekma, di pantai utara Mesir, dengan tujuan untuk meningkatkan pelancongan, pelaburan dan rizab mata wang asing. – Xinhua


