Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesir jadi tuan rumah rundingan gencatan senjata

    SEMENANJUNG GAZA, 3 MAC – Mesir hari ini menjadi tuan rumah kepada utusan-utusan untuk rundingan mengenai gencatan senjata antara Israel dan Hamas, usaha diplomatik terbaharu ketika pegawai Gaza melaporkan lebih banyak pengeboman maut

    dalam perang yang berlangsung hampir lima bulan.

    Seorang pegawai kanan Hamas memberitahu AFP, satu delegasi daripada kumpulan Palestin akan berbincang dengan pengantara cadangan untuk gencatan senjata selama enam minggu, selepas seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata Israel telah menerima syaratnya secara meluas.

    Utusan dari AS, Qatar dan Hamas telah tiba di Kaherah, media berkaitan kerajaan Mesir melaporkan, ketika semua pihak tergesa-gesa untuk mengadakan gencatan senjata sebelum Ramadan, bulan puasa umat Islam yang dijangka bermula pada 10 atau 11 Mac.

    Pegawai Hamas itu berkata jika Israel memenuhi tuntutannya yang termasuk pengunduran tentera dari Gaza dan bantuan kemanusiaan yang dipertingkatkan, ia akan ‘membuka jalan untuk perjanjian dalam tempoh 24 ke 48 jam akan datang’.

    Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza yang diperintah Hamas berkata sekurang-kurangnya 90 rakyat Palestin telah terbunuh dalam tempoh 24 jam yang lalu, termasuk 14 ahli keluarga yang rumah mereka di kem pelarian Rafah di selatan telah diserang.

    Dua daripada mereka, anak damit kembar Naeem dan Wissam Abu Anza, telah dikebumikan hari ini, kata seorang jurugambar AFP, ketika ibu mereka, Rania menangis dalam kesakitan.

    Saudaranya, Shehda Abu Anza berkata hanya ada ‘orang awam’ di rumah keluarga itu.

    “Kesemua mereka sedang tidur apabila tiba-tiba satu peluru berpandu menghentam dan memusnahkan seluruh rumah,” katanya kepada AFP manakala ahli keluarga dan penduduk lain mencari mayat dan juga makanan di antara runtuhan menggunakan tangan. – AFP

    Seorang lelaki membawa jasad Naeem dan Wissam Abu Anza untuk dikebumikan di Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada 3 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda