Sabtu, 22 November 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesir lantik 48 wanita sebagai hakim State Council

    KAHERAH, 8 SEPT – Mesir melantik 48 wanita sebagai hakim State Council buat julung kali melalui laluan pencapaian kemasukan, langkah yang menzahirkan usaha negara itu untuk memajukan pemerkasaan wanita  dan melaksanakan pembaharuan kehakiman.
     
    Langkah itu menyokong pembangunan menyeluruh sistem kehakiman Mesir di tengah-tengah transformasi digital dan pemodenan institusi yang berterusan, menurut kenyataan State Council kelmarin.
     
    “Langkah bersejarah hari ini mencerminkan komitmen negara untuk memperkasakan wanita dan menggalakkan penyertaan mereka dalam badan kehakiman,” kata Pengerusi State Council Mesir, Osama Shalaby, dalam kenyataan itu.
     
    Pelantikan mereka menandakan satu lagi langkah penting bagi memperkukuh peranan wanita dalam sektor kehakiman selepas Mac 2022, apabila 98 wanita mengangkat sumpah sebagai hakim State Council buat kali pertama dalam sejarah Mesir melalui pemindahan dari badan kehakiman lain.
     
    Seorang daripada hakim yang baru dilantik, Samar Alaa, lulusan Universiti Iskandariah berkata, “Ini adalah satu penghormatan dan tanggungjawab besar untuk mentadbir keadilan secara adil serta menjadi teladan wanita dalam bidang kehakiman.”
     
    State Council Mesir ialah sebuah badan kehakiman bebas yang ditubuhkan pada 1946 yang mempunyai bidang kuasa ke atas pertikaian pentadbiran, kes tatatertib, rayuan dan cabaran terhadap keputusannya sendiri. – Bernama
     
    Seramai 48 wanita telah dilantik sebagai hakim state council di Mesir pada 8 September. – selwatanelmasry.com
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda