KAHERAH, 31 MEI – Mesir semalam mempamerkan koleksi artifak lama yang wujud sejak 2,500 tahun lalu yang dikatakan oleh pihak berkuasa kepurbaan negara digali baru-baru ini di rantau terkenal Saqqara berdekatan Kaherah.
Kesemua artifak dipamerkan di tempat pameran sementara yang didirikan di kaki Tangga Piramid Djoser di Saqqara, 24 kilometer dari barat daya ibu negara Mesir.
Menurut Mostafa Waziri, ketua Majlis Tertinggi Barang Purba, penemuan termasuk 250 keranda batu bercat dengan mumia awet di dalam, serta 150 patung dewa gangsa dan mangkuk gangsa yang digunakan dalam upacara Isis, dewa kesuburan dalam mitologi lama Mesir, kesemuanya dari era 500 Sebelum Masihi.
Sebuah patung gangsa tanpa kepala Imhotep, ketua arkitek Firaun Djoser yang memerintah Mesir di antara 2630SM dan 2611SM juga dipamerkan.
Artifak berkenaan akan dipindahkan untuk dipamerkan di Muzium Mesir baharu, projek besar yang masih dalam pembinaan berhampiran Piramid Giza, di luar kaherah.
Tapak Saqqara adalah sebahagian daripada nekropolis yang terletak di ibu negara lama Mesir Memphis yang termasuk Piramid Giza dan piramid lebih kecil di Abu Sir, Dahshur dan Abu Ruwaysh. Puing-puing di Memphis telah disenaraikan sebagai tapak Warisan UNESCO pada 1970.
Mesir sedang giat mempromosikan penemuan arkeologi terbaharu ini, dengan harapan dapat menarik lebih ramai pelancong ke negara itu.
Sektor pelancongannya, sumber pendapatan utama asing, terjejas akibat krisis politik dan keganasan susulan pemberontakan pada 2011 yang menggulingkan Hosni Mubarak. – AP
