Tuesday, February 25, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesir pantau ketegangan di Laut Merah

    KAHERAH, 18 DIS – Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) Mesir kelmarin berkata pihaknya kini memantau rapat impak ketegangan tentera di Laut Merah, susulan tindakan syarikat perkapalan utama kini mengambil laluan alternatif atas faktor keselamatan.

    Pengerusi SCA, Osama Rabie dalam satu kenyataan berkata trafik maritim di terusan yang menghubungkan Mediterranean dan Laut Merah itu masih dalam situasi normal, namun SCA sedang menilai impak syarikat perkapalan tertentu yang mengalihkan sementara laluan mereka ke Cape of Good Hope (Tanjung Harapan), lapor Xinhua.

    Sejak beberapa hari kebelakangan ini, sekurang-kurangnya empat firma pengangkutan utama telah mengurangkan atau menangguhkan pengangkutan di Laut Merah berikutan serangan berulang Houthi ke atas kapal komersial di kawasan itu sejak tercetusnya konflik Israel-Hamas pada 7 Oktober.

    Rabie berkata hanya 55 kapal telah mengubah laluan melalui Tanjung Harapan sejak 19 November berbanding 2,128 kapal melalui Terusan Suez dalam tempoh itu.

    Beliau berkata 77 kapal menggunakan Terusan Suez kelmarin, termasuk beberapa kapal milik syarikat perkapalan yang mengumumkan lencongan sementara.

    Rabie berkata Terusan Suez akan kekal sebagai laluan terpantas dan terpendek bagi kapal yang membuat transit antara Asia dan Eropah dengan penjimatan masa antara sembilan hari hingga dua minggu, bergantung kepada pelepasan dan ketibaan.

    Sebagai syarikat perkapalan pertama yang dimaklumkan mengenai serangan itu, syarikat logistik utama Denmark, Maersk pada Jumaat menasihatkan kumpulan kapalnya supaya menghentikan semua pelayaran melalui Selat Bab al-Mandab.

    Laluan berhampiran Yaman itu mempunyai kepentingan strategik yang sangat besar, berfungsi sebagai pusat utama penghantaran minyak global dan sebagai pintu masuk penting ke Terusan Suez.

    Maersk memetik kebimbangan mengenai ‘keadaan yang semakin merosot’ dan ‘risiko serius’ terhadap keselamatan kapal dan anak kapal. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda