Thursday, January 30, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesir pertahan tradisi bersedekah sempena Ramadan

    Gambar AFP

    KAHERAH – Di tengah-tengah krisis ekonomi yang teruk, rakyat Mesir tetap mengekalkan tradisi bersedekah sempena bulan Ramadan yang memberikan harapan kepada orang yang memerlukan berdasarkan kemurahan hati penderma ketika perayaan ini.

    Ramai keluarga terbeban dengan kenaikan inflasi yang mencecah 32.9 peratus pada Februari ketika rakyat Mesir berusaha untuk memenuhi keperluan mereka menjelang bulan puasa dan berbuka puasa, yang dikenali sebagai iftar.

    “Pada tahun lalu, kami menyediakan 360 hidangan iftar setiap hari, tetapi tahun ini, saya tidak pasti kami akan mencapai 200,” kata pengasas sebuah badan kebajikan kecil di daerah kelas pekerja Kaherah, al-Marg.

    Namun, hidangan itu lebih penting, kata pekerja kebajikan itu, yang meminta agar namanya tidak disebut atas sebab-sebab privasi.

    Bagi kebanyakan keluarga, ‘kotak Ramadan’ terdiri daripada bantuan makanan iftar harian, yang dianjurkan di seluruh negara, adalah peluang mereka untuk makan daging atau ayam.

    Umat Islam berkumpul untuk berbuka puasa bersama-sama dalam jamuan sedekah berbuka puasa beramai-ramai sempena Ramadan di pinggir bandar Matariya di timur laut ibu negara Mesir, Kaherah.
    Penjual kurma Mesir menjual kurma di pasar tradisional Road al-Farag di Kaherah.
    Seorang penjual menjual kurma dan buah-buahan kering di pasar di daerah Sayyida Zeinab tengah Kaherah.

    Sebelum krisis ekonomi sekarang, diburukkan lagi oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada tahun lepas, yang menjejas import makanan penting, mengakibatkan 30 peratus rakyat Mesir hidup di bawah garis kemiskinan, menurut Bank Dunia.

    Selain itu, peningkatan kos produk makanan haiwan telah mendorong hidangan ayam yang dulu mampu dibeli kini terlalu mahal untuk kebanyakan daripada populasi 105 juta penduduk Mesir.

    Sebelum Ramadan bermula, badan kebajikan yang diharapkan oleh puluhan juta rakyat Mesir mengeluarkan amaran bahawa mereka bergelut untuk memenuhi keperluan lebih ramai orang, pada kos yang lebih tinggi dan dengan sumbangan yang semakin berkurangan.

    Musimnya telah tiba

    “Namun, kemurahan hati terutama pada masa-masa sukar ketika bulan Ramadan di mana kebanyakan penduduk Mesir memberikan sedekah tahunan mereka, yang telah menjadi salah satu amalan, sangat dihargai,” kata Manal Saleh, selaku Ketua Bank Pakaian Mesir.

    Dalam tempoh 10 bulan, derma yang diterima pada 2021 daripada warga Mesir berjumlah kira-kira AS$315 juta, menurut media negara.

    Walau bagaimanapun, sekitar 90 peratus daripada jumlah tersebut dihulurkan semasa Ramadan, menurut Saleh, yang juga membantu menubuhkan salah satu badan kebajikan terbesar di negara tersebut, Bank Makanan Mesir.

    Setiap hari sepanjang bulan suci itu, pemandangan yang biasa dilihat di jalan-jalan kota Mesir saat matahari terbenam adalah mawaed al-rahman, meja amal di mana orang datang untuk berbuka puasa secara percuma, yang kadang-kadang mencecah jumlah ratusan orang.

    Kebanyakannya dianjurkan oleh penderma yang tidak mahu dikenali seperti Fouad, seorang jurutera bersara berusia 64 tahun, yang meminta menggunakan nama samaran kerana inisiatifnya bukanlah amal yang diiktiraf.

    Tahun ini, dia dan sekumpulan kawannya mengusahakan dapur umum di sebuah masjid, di mana mereka terpaksa menggandakan anggaran untuk memberi makan lebih ramai orang, bukan hanya orang yang kurang bernasib baik, tetapi juga seluruh masyarakat.

    Selama sebulan penuh, dapur tersebut menyajikan makanan kepada masyarakat, termasuk keluarga yang kurang mampu bahkan juga pekerja kedai yang tidak mampu membeli makanan ketika rehat, demi menjimatkan kira-kira AS$2.

    Rakyat bersatu padu

    Menurut angka rasmi terkini dari tahun 2021, gaji purata di Mesir ialah 4,000 pound.
    Sementara itu, harga daging subsidi tempatan paling murah meningkat hampir dua kali ganda kepada 220 pound, iaitu seperempat daripada gaji seminggu.

    Apabila keluarga dari pelbagai kelas mengurangkan perbelanjaan bermula daripada pembelian barangan runcit hingga pendidikan, perbelanjaan amal mungkin menjadi yang pertama dipotong.

    “Jujur saya hampir putus asa beberapa minggu lalu, ketika kami melihat angka itu dan menyedari bahawa kami mungkin tidak dapat melaksanakannya tahun ini,” kata Fouad kepada AFP.

    “Tetapi mereka boleh melipatgandakan sumbangan mereka dari tahun lalu, kerana mereka tahu betapa pentingnya bagi kami untuk meningkatkan usaha kita dalam situasi seperti ini.”

    Saleh berkata bahawa amalan kebajikan semasa Ramadan adalah sukar untuk diputuskan.

    “Kami pernah melihat krisis sebelum ini, dan rakyat menghulurkan bantuan,” kata Saleh.

    “Saya fikir walaupun seseorang tidak dapat memberi banyak sumbangan, awda akan melihat akan ada lebih ramai orang membantu, menjadi sukarelawan, menyediakan makanan untuk mereka di sekeliling, walaupun wang sukar diperoleh.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda