KAHERAH, 9 FEB – Mesir akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak negara-negara Arab pada 27 Februari untuk membincangkan ‘perkembangan serius terkini’ mengenai wilayah Palestin, menurut kenyataan kementerian luar Mesir hari ini.
Sidang kemuncak ‘kecemasan Arab’ itu diadakan ketika Mesir sedang mengumpul sokongan serantau menentang rancangan Presiden AS, Donald Trump untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza ke Mesir dan Jordan, sambil mewujudkan kawalan AS ke atas wilayah pantai tersebut.
Kenyataan hari ini menyatakan bahawa pertemuan tersebut dipanggil “selepas rundingan yang meluas oleh Mesir di peringkat tertinggi dengan negara-negara Arab dalam beberapa hari kebelakangan ini, termasuk Palestin, yang meminta sidang kemuncak ini, untuk menangani perkembangan serius terkini mengenai isu Palestin.”
Ini termasuk koordinasi dengan Bahrain, yang kini mempengerusikan Liga Arab, kata kenyataan tersebut.
Pada Jumaat, Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty bercakap dengan rakan-rakan serantau termasuk Jordan, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu untuk memperkukuhkan penentangan terhadap sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin dari tanah mereka.
Minggu lalu, Trump mengemukakan idea pentadbiran AS ke atas Gaza, dengan membayangkan pembinaan semula wilayah yang musnah itu menjadi ‘Riviera Timur Tengah’ selepas pemindahan rakyat Palestin ke tempat lain, terutamanya Mesir dan Jordan.
Kenyataan tersebut telah mencetuskan reaksi balas global dan negara-negara Arab dengan tegas menolak cadangan itu, menegaskan penyelesaian dua buah negara dengan sebuah negara Palestin yang merdeka bersama Israel. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P21-2_10022025.jpg)