Saturday, December 28, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesir rugi AS$7 bilion akibat situasi Laut Merah

    MOSCOW, 27 DIS – Pendapatan Mesir daripada Terusan Suez merosot lebih 60 peratus, bersamaan AS$7 bilion pada 2024 akibat situasi di Laut Merah, menurut Pejabat Presiden Mesir Abdel Fattah Sisi, lapor Sputnik/RIA Novosti.

    “Sisi bertemu dengan Pengerusi dan Pengarah Urusan Pihak Berkuasa Terusan Suez, Laksamana Ossama Rabiee … Presiden El-Sisi dimaklumkan mengenai hasil pendapatan yang diperoleh daripada Terusan itu pada 2024, yang mencatatkan penurunan lebih 60 peratus berbanding 2023.

    “Ini bermakna Mesir kehilangan hampir AS$7 bilion pada 2024 akibat situasi berterusan di Laut Merah dan Bab el-Mandeb, yang menjejaskan trafik pelayaran melalui Terusan dan kemampanan perdagangan global,” menurut kenyataan Pejabat Presiden kelmarin.

    Pada September, syarikat perkapalan Denmark, A.P. Moller-Maersk A/S (Maersk) memaklumkan jumlah kapal yang melalui Terusan Suez menurun sebanyak 66 peratus sejak ketegangan meningkat di Laut Merah.

    Gerakan Ansar Allah di Yaman, yang juga dikenali sebagai Houthi mengisytiharkan sokongannya kepada Palestin dan berikrar untuk menyerang mana-mana kapal yang berkaitan dengan Israel selepas negara itu melancarkan peperangan di Gaza sejak Oktober 2023.

    Gerakan itu juga berjanji untuk tidak mengganggu kebebasan pelayaran di rantau berkenaan dan tidak membahayakan kapal-kapal negara lain.

    Beberapa syarikat menghentikan penghantaran melalui Laut Merah atas kebimbangan keselamatan. – Bernama

    Sebuah kapal kelihatan belayar di Terusan Suez di Wilayah Ismailia, Mesir, pada 5 Disember. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda