KAHERAH, 24 APRIL – Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi dan rakan sejawatannya dari Djibouti, Ismail Omar Guelleh, menyuarakan sokongan bersama terhadap usaha menamatkan perang di Gaza serta memelihara keselamatan maritim di Laut Merah, menurut satu kenyataan bersama selepas pertemuan mereka di Djibouti kelmarin.
Menurut kenyataan itu, “Kedua-dua presiden mengecam semula tindakan agresif Israel di Semenanjung Gaza yang merupakan pelanggaran nyata terhadap perjanjian gencatan senjata.”
Mereka mengulangi sokongan terhadap hasil sidang kemuncak tergempar Arab mengenai Palestin yang diadakan di Mesir pada 4 Mac lalu, yang menekankan keperluan untuk gencatan senjata serta penubuhan negara Palestin merdeka berdasarkan sempadan 1967 dengan Timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara.
Mengenai keselamatan di Laut Merah, kedua-dua pemimpin menyatakan “penolakan terhadap sebarang cubaan mengancam keselamatan dan kestabilan laluan maritim.”
Sambil menekankan kepentingan memperkukuh penyelarasan antara negara-negara Arab dan Afrika yang bersempadan dengan Laut Merah dan Teluk Aden. – Xinhua
