Wednesday, July 3, 2024
23 C
Brunei

    -

    Mesir terima pakej bantuan EU bernilai AS$8 bilion

    KAHERAH, 30 JUN – Mesir dan Kesatuan Eropah (EU) hari ini melancarkan persidangan pelaburan dua hari untuk mempercepat pelaksanaan perjanjian perkongsian strategik mereka. Perjanjian tersebut merangkumi pakej bantuan bernilai AS$8 bilion bagi negara Timur Tengah yang sedang menghadapi masalah kewangan.

    Pakej bantuan yang diumumkan pada Mac lalu itu termasuk geran dan pinjaman yang akan disalurkan dalam tempoh tiga tahun akan datang. Sebahagian besar dana tersebut, iaitu AS$5.4 bilion, merupakan bantuan makro-kewangan untuk membantu Mesir mengukuhkan ekonominya yang terjejas akibat kekurangan mata wang asing dan inflasi yang meningkat.

    Dalam ucapan alu-aluan, Presiden Abdel Fattah el-Sissi menyatakan bahawa persidangan itu ‘menghantar mesej keyakinan dan sokongan yang kuat daripada EU terhadap ekonomi Mesir dan langkah-langkah pembaharuan ekonomi yang dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun lalu’.

    EU, yang diwakili oleh Naib Presiden Eksekutif, Valdis Dombrovskis, dan Mesir akan menandatangani memorandum persefahaman bagi bantuan makro-kewangan jangka pendek sehingga AS$1.07 bilion bagi menyokong program pembaharuan ekonomi Mesir, menurut kenyataan misi EU di Kaherah.

    Selain itu, perjanjian pelaburan lain bernilai AS$42.8 bilion juga dijadualkan akan ditandatangani dengan syarikat-syarikat Eropah serta perjanjian kerjasama dua hala dengan EU untuk meningkatkan pekerjaan dan kemahiran, pembuatan vaksin, keselamatan makanan dan pembangunan mampan. – AP

    Presiden Abdel-Fattah el-Sissi berjabat tangan dengan von der Leyen, sebelum pembukaan Persidangan Pelaburan EU-Mesir di Kaherah, Mesir. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan sambung latihan artileri di sempadan

    SEOUL, 2 JULAI – Korea Selatan menyambung semula latihan artileri berhampiran sempadan dengan Korea Utara pada Selasa buat kali pertama dalam tempoh enam tahun,...