Semangat ibu mengandung ketika bekerja sukar dijangka. Itulah yang dilakukan pelakon dan penyanyi jelita, Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura.
Walaupun kini sarat hamil dan akan melahirkan anak sulungnya tidak lama lagi, Fazura tetap mencari kesempatan untuk melancarkan lagu baharu berjudul Noktah. Lagu istimewa ciptaan sepenuhnya komposer Ezra Kong itu menceritakan pasangan yang tidak berdaya lagi untuk menyelamatkan hubungan mereka.
Perjalanan ceritanya berkisar daripada sudut pandang wanita yang berada dalam hubungan itu, di mana dia harus tetap kuat menghadapi segala kekecewaan dengan pasangannya.
Apa yang pasti, wanita itu sentiasa mengingati detik-detik bahagia pernah dilalui dengan lelaki dicintai, yang malangnya harus berakhir dan bertemu titik noktah. Menurut Fazura, dia yakin lagu itu mampu melekat di jiwa pendengar terutama wanita kerana pastinya ramai pernah melalui kisah percintaan sedih dan memilukan.
“Saya pasti setiap wanita pernah merasa tiada harapan apabila berada dalam satu jalinan hubungan cinta yang mempunyai toksik.

“Tak mudah sebenarnya untuk meninggalkan seseorang yang kita sayang, tapi harus melakukannya demi kebaikan sendiri.
“Apa yang penting, sudah tentu kita perlu menghormati dan menyayangi diri sendiri terlebih dahulu dan belajar meninggalkan sesuatu yang gagal untuk dipertahankan,” katanya.
Melihat pada karya ciptaan Ezra Kong, tak dinafikan hingga kini dia sudah banyak menghasilkan rangkaian lagu hit untuk carta muzik Malaysia.
Dikenali sebagai seorang yang agak memilih dari segi kerjanya dan dengan siapa dia akan bekerja, Ezra selalunya menghasilkan tiga hingga empat lagu sebulan dengan sentuhan sangat teliti.
“Saya suka mencipta satu pesona dan cerita pada setiap hasil kerja dibuat untuk membantu pendengar merasa lebih dekat dengan sesuatu lagu itu.
“Justeru, untuk lagu Noktah ini saya yakin hampir setiap orang daripada kita pernah melaluinya dan ia juga sebagai peringatan untuk belajar kuatkan diri cuba melepaskan sesuatu apabila perlu,” katanya.
Menurut Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kenny Ong pula, pihaknya sangat teruja dengan pelancaran lagu Noktah yang berlangsung baru-baru ini. – Agensi