MIAMI, 29 SEPT – Lionel Messi menjaringkan gol penyamaan ketika Inter Miami terikat 1-1 di laman sendiri menentang Charlotte FC dalam saingan Major League Soccer, kelmarin.
Walaupun seri untuk kali ketiga berturut-turut, Miami yang sudah mengesahkan tempat di playoff, kekal mendahului Eastern Conference dan Perisai Penyokong.
Charlotte, kendalian bekas bos Aston Villa, Dean Smith, mendahului permainan pada minit ke-57 apabila rembatan leret Brandt Bronico terkena Karol Swiderski dan menewaskan penjaga gol Miami, Drake Callender.
Miami hampir kembali menyamakan kedudukan apabila hantaran Jordi Alba menemui Messi, namun tandukan pemain Argentina itu tepat ke dakapan penjaga gol, Kristijan Kahlina.
Penjaga gol Croatia itu sekali lagi menafikan Messi dengan menyelamatkan rembatannya dari luar kotak penalti.Bagaimanapun Messi akhirnya meledak gol ke-15 dalam 15 perlawanan untuk Miami musim ini.
Miami menyangka mereka telah mendapat sepakan penalti pada minit ke-77 apabila Diego Gomez jatuh selepas dicabar oleh pemain pertahanan Charlotte, Adilson Malanda dan pengadil Ramy Touchan memberi penalti.
Malanda menerima kad kuning kedua, tetapi VAR menyelamatkannya setelah memutuskan bahawa dia telah menyentuh bola.
Pada masa kecederaan, Miami mempunyai peluang besar untuk memenangi perlawanan apabila Alba menanduk bola ke arah gawang, tetapi Luis Suarez, yang berada di bawah tekanan daripada Kahlina, menyepak bola ke atas palang dari jarak satu ela.
Miami kini mengumpul 65 mata dengan tiga perlawanan berbaki musim ini.
Columbus Crew di tangga kedua pada 57 mata dan Cincinnati, 56.
Miami boleh menjuarai Perisai Komuniti dengan menang atau seri menentang Columbus pada Rabu lalu. – AFP