Monday, December 16, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Messi belum pasti beraksi di Piala Dunia 2026

    BUENOS AIRES, 22 SEPT – Kapten Argentina, Lionel Messi berkata dia tidak pasti mengenai penyertaannya dalam Piala Dunia akan datang yang akan dihoskan bersama oleh Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada pada 2026, apabila dia akan berusia 39 tahun.

    “Saya tidak tahu sama ada saya akan sampai ke sana,” katanya kepada tokoh media Argentina, Miguel Garrados dalam satu wawancara yang disiarkan di YouTube, kelmarin.

    “Saya belum memikirkannya lagi kerana ia masih jauh.”

    Buat masa ini, Messi berkata dia fokus pada kejohanan Copa America 2024 yang dihoskan di AS.

    “Selepas Copa America kita akan lihat, ia bergantung kepada perasaan saya,” katanya. “Masih ada tiga tahun lagi.”

    Aksi Lionel Messi semasa perlawanan antara Toronto FC dan Inter Miami CF di Stadium DRV PNK di Fort Lauderdale, Florida pada 20 September. – AFP

    Messi mengetuai Argentina meraih kemenangan menentang Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia di Qatar Disember lalu.

    Dalam temu bual itu, dia menyatakan kekecewaannya kerana tidak mendapatkan pengiktirafan yang memadai di bekas kelab Perancisnya, Paris Saint-Germain selepas menjulang Piala Dunia 2022 di Qatar.

    Dia mendakwa dia satu-satunya pemain Argentina dalam pasukannya yang tidak mendapat pengiktirafan daripada kelabnya.

    “Ia bukan apa yang saya harapkan, tetapi saya selalu mengatakan bahawa perkara terjadi atas sebab tertentu,” kata Messi mengenai tahun-tahunnya di Paris, sambil menambah dia tidak merasa baik di sana.

    Pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu sudah beberapa kali menyatakan ketidakpuasannya di PSG sebelum berpindah ke Florida untuk bermain bersama Inter Miami dalam Major League Soccer. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda