Messi cedera lagi

PARIS, 24 SEPT – Lionel Messi sekali lagi disisihkan bagi perlawanan Paris Saint-Germain (PSG) esok menentang Montpellier ketika dia terus merawat kecederaan lutut yang dialaminya, menurut kenyataan dikeluarkan oleh kelab.

PSG berkata Messi sudah mula berlari dan perkembangan terkini akan dimaklumkan pada Ahad ini, meningkatkan harapan bahawa dia akan diturunkan dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang pasukan kendalian Pep Guardiola, Manchester City pada Selasa depan.

Messi dikeluarkan pada minit ke-76 semasa kemenangan ke atas Lyon minggu lalu di Ligue 1.

Dia dikhabarkan mengalami kecederaan di bahagian lutut dan tidak disenaraikan dalam perlawanan menentang Metz pada Rabu lalu.

Messi setakat ini hanya membuat tiga penampilan untuk kelab baharunya sejak tiba dari Barcelona pada awal Ogos, dan hanya melengkapkan satu perlawanan penuh, semasa beraksi menentang Club Brugge di Liga Juara-Juara.

PSG menyasarkan mencatat kemenangan kelapan daripada lapan perlawanan di Ligue 1 musim ini.

Marco Verratti dan Sergio Ramos, yang ditandatangani dari Real Madrid, juga masih disisihkan akibat kecederaan. – AFP