Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Messi cergas hadapi Porto – Mascherano

    ATLANTA, 19 JUN – Jurulatih Inter Miami, Javier Mascherano berkata Lionel Messi akan cergas untuk menentang Porto pada Piala Dunia Kelab esok pagi, walaupun menunjukkan tanda-tanda ketidakselesaan dalam latihan.

    Sebuah video muncul menunjukkan Messi menyentuh kaki kirinya semasa sesi latihan kelmarin, tetapi Mascherano mengesahkan penyerang veteran tersebut bersedia untuk perlawanan kedua Kumpulan A Miami di Atlanta.

    “Dalam perjalanan dari Miami ke Atlanta, saya nampak dia tidak selesa namun dia cergas dan tetap berlatih,” kata Mascherano kepada pemberita.

    “Dia menyentuh kakinya kadang-kadang, tetapi tidak ada masalah, dia cergas dan jelas dia akan bermain esok.”

    Bekas rakan sepasukan Messi di Barcelona, ​​Jordi Alba turut sertai selepas terlepas aksi pembukaan 0-0 menentang Al Ahly kerana kecederaan.

    “Kami akan menilai apa yang terbaik untuk kami, sekiranya dia bermain atau tidak,” kata jurulatih itu. “Sebenarnya, saya sudah tahu tetapi saya tidak akan memberitahu awda.”

    Sementara itu Mascherano berkata mengekalkan penguasaan bola akan menjadi kunci menentang Porto dari Portugal, satu pasukan yang kerap sertai Liga Juara-Juara yang berkemungkinan memberikan tentangan hebat kepada pasukan MLS.

    “Kami mempunyai pemain yang berasa lebih selesa apabila mereka menguasai bola. Sudah tentu, kami berdepan pasukan yang juga sudah biasa melakukannya.

    “Tetapi di atas padang 11 lawan 11, kami akan cuba menutup kekuatan dan mendedahkan kelemahan mereka dan cuba bermain dengan baik untuk mendapatkan keputusan.”

    Pemain tengah Inter Miami, Sergio Busquets, juga ​​mengakui pasukannya bersedia beraksi di stadium Mercedes-Benz.

    “Mereka mempunyai pemain yang sangat bagus, mereka telah menjadi lebih kuat dan kami tahu bahawa ia akan menjadi sangat sukar,” kata Busquets kepada pemberita.

    “Mereka adalah pasukan yang bersaing setiap tahun untuk liga mereka dan menentang pasukan hebat yang lain seperti Sporting dan Benfica.

    “Kami akan cuba menjadi sekuat mungkin, kekal rapat dan cuba melakukan yang terbaik sebagai satu pasukan.

    “Jika kami mendapat peluang, kami mempunyai individu (yang boleh menyerang), tetapi yang paling penting kami perlu padu dan mengekalkan rekod bersih.” – AFP

    Lionel Messi semasa perlawanan bola sepak Piala Dunia Kelab 2025 antara Al-Ahly dan Inter Miami AS di stadium Hard Rock, Miami pada 14 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda