Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Messi cergas untuk Kelayakan Piala Dunia

    BUENOS AIRES, 16 NOV – Pengurus Argentina, Lionel Scaloni meredakan kebimbangan mengenai kecergasan Lionel Messi, dan memberi jaminan pemain itu sedia diturunkan untuk aksi kelayakan Piala Dunia Albiceleste menentang Uruguay dan Brazil.

    Messi, 36, tidak bermain sejak 21 Oktober semasa pasukannya Inter Miami mengalami kekalahan 1-0 kepada Charlotte pada perlawanan terakhir musim Major League Soccer.

    “Messi bersiap sedia, beliau bermain dengan baik. Walaupun beliau bermain satu perlawanan dalam tempoh 25 hari lalu, beliau berlatih seperti biasa, beliau cergas dan sihat,” kata Scaloni pada sidang media semalam, lapor Xinhua.

    Argentina akan bertemu Uruguay di La Bombonera di Buenos Aires pada Khamis dan Brazil di stadium Maracana di Rio de Janeiro Selasa depan.

    Scaloni berkata beliau tidak terkesan dengan pihak yang mendakwa Messi tidak layak menerima Anugerah Ballon d’Or kelapan yang dimenanginya bulan lalu.

    “Saya tidak faham. Saya percaya kritikan itu dibuat supaya timbul rasa tidak puas hati, walaupun saya yakin tidak ada alasan untuk itu.

    “Perkara yang baik ialah beliau memenangi Ballon d’Or, jadi di situlah kritikan itu berakhir,” katanya.

    Argentina berada di kedudukan teratas dalam kumpulan kelayakan 10 pasukan Amerika Selatan dengan empat kemenangan, lima mata di depan Uruguay di tempat kedua. – Bernama

    Aksi Messi semasa sesi latihan di Ezeiza, Wilayah Buenos Aires pada 14 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda