MIAMI, 12 OKT – Lionel Messi menjaringkan dua gol untuk menghidupkan semangat Inter Miami dalam meraih kemenangan 4-0 ke atas Atlanta United, sekali gus merampas kedudukan teratas dalam carta penjaring Major League Soccer (MLS) dalam kemena-ngan penting buat kelab Florida itu.
Bintang Argentina itu telah menjaringkan gol ke-25 dan ke-26 musim ini, mengatasi pemain Los Angeles FC, Denis Bouanga, dalam perebutan Kasut Emas selepas memulakan hari dengan kedudukan terikat bersama pemain antarabangsa Gabon itu dengan 24 gol.
Manakala, Miami yang telah mengesahkan tempat dalam pusingan playoff Piala MLS, meneruskan kempen mereka untuk memperbaiki kedudukan dalam saingan itu.
Mereka kini seri dengan Cincinnati dalam Eastern Conference, empat mata di belakang pendahulu Philadelphia, yang telah menjuarai Perisai Penyokong sebagai pasukan dengan rekod musim biasa terbaik dalam liga. Gol pertama Messi pada minit ke-39 merupakan satu jaringan cantik.
Baltasar Rodriguez merampas bola daripada pertahanan Atlanta dan menghantar kepada Messi di luar kotak penalti.
Messi kemudian meluru ke hadapan dan melepaskan rembatan kaki kiri melengkung melepasi Pedro Amador dan di luar jangkauan penjaga gol Atlanta, Jayden Hibbert, ke penjuru kiri atas gawang.
Messi turut memainkan peranan penting dalam gol Jordi Alba yang membantu menggandakan kelebihan Miami pada minit ke-52, apabila dia melambungkan bola kepada pemain Sepanyol itu dan seterusnya melakukan sepakan kaki kiri melepasi Hibbert ke penjuru kanan bawah gawang.
Pemain Uruguay, Luis Suarez, menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-61 dan Messi menambah gol keduanya pada minit ke-87 dengan sepakan kaki kiri dari tengah kotak penalti selepas menerima hantaran jauh daripada Alba. – AFP


