Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Messi diketepikan, terlepas aksi kelayakan Piala Dunia

    MONTEVIDEO, 18 MAC – Lionel Messi tidak akan beraksi dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Argentina bulan ini selepas mengalami kecederaan pangkal paha dalam kemenangan Inter Miami ke atas Atlanta hujung minggu lalu, menurut kelabnya kelmarin.

    Messi tidak disenaraikan dalam skuad Argentina untuk perlawanan menentang Uruguay pada Jumaat, diikuti dengan pertembungan menentang Brazil pada 25 Mac.

    Inter Miami dalam satu kenyataan menyatakan bahawa hasil imbasan menunjukkan Messi mengalami kecederaan ringan pada otot adduktor dalam kemenangan 2-1 pada Ahad.

    Namun, tiada jangkaan masa pemulihan diberikan.

    “Perkembangan klinikal dan tindak balasnya terhadap rawatan akan menentukan ketersediaannya untuk beraksi,” menurut kenyataan Inter Miami.

    Selepas terlepas tiga perlawanan untuk Inter awal bulan ini, pemain berusia 37 tahun itu kembali dengan satu jaringan sebagai pemain gantian dalam kemenangan Piala Juara-Juara CONCACAF.

    Argentina, selaku juara bertahan Piala Dunia, berpeluang mengesahkan kelayakan ke kejohanan tahun depan dalam dua perlawanan akan datang. Mereka kini mendahului kumpulan kelayakan Amerika Selatan dengan kelebihan lima mata menjelang aksi menentang Uruguay di Montevideo.

    Enam pasukan teratas akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, manakala pasukan di tempat ketujuh ketika ini Bolivia dengan 13 mata akan bersaing dalam perlawanan play-off. – AFP

    Lionel Messi dalam perlawanan suku akhir Copa América Conmebol 2024 antara Argentina dan Ecuador pada 4 Julai 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda