PARIS, 30 NOV – Lionel Messi mengakui memenangi trofi Copa America bersama Argentina mungkin menjadi salah satu faktor utama yang mempengaruhi kemenangan beliau bagi kategori lelaki anugerah Ballon d’Or buat kali ketujuh selepas tahun yang dibelenggu pandemik.
Kini berusia 34 tahun, Messi menewaskan pencabar pilihan antaranya Robert Lewandowski dan Karim Benzema untuk membawa pulang anugerah pada majlis gilang-gemilang di Paris hari ini, bandar yang kini menjadi kediamannya selepas meninggalkan kelab Barcelona untuk ke Paris Saint-Germain pada Ogos.
Di sebalik kesedihan meninggalkan Barcelona dan dia dilihat semakin serasi dengan kehidupan di Perancis, para juri yang terdiri daripada wartawan dari seluruh dunia menganugerahkan pencapaian cemerlangnya khusus kerana mengetuai Argentina untuk memenangi kejuaraan utama antarabangsa yang pertama sejak 1993.
“Dua tahun yang lalu, saya sangka saya akan menamatkan tahun terakhir tetapi kini saya tetap juga berada di sini,” kata Messi, yang memenangi edisi terakhir Ballon d’Or pada 2019 sebelum anugerah tahun lalu dibatalkan kerana pandemik COVID-19.
Messi juga memenangi anugerah tersebut pada 2009, 2010, 2011, 2012 dan juga 2015.

“Orang ramai mula bertanya kepada saya, bila saya akan bersara tetapi sekarang saya masih berada di sini di Paris dan saya sangat gembira,” katanya di Teater Chatelet di tengah Paris, serta diiringi oleh isterinya Antonella Roccuzzo dan ketiga-tiga anak mereka.
“Saya tidak tahu berapa tahun lagi akan saya akan beraksi tetapi saya berharap akan ada banyak lagi kerana saya sangat gembira dengan prestasi saya tahun ini.
“Apa yang saya capai bersama Argentina adalah impian menjadi kenyataan. Saya fikir saya memenangi trofi ini kerana apa yang telah kami lakukan di Copa Amerika, jadi saya mendedikasikan kemenangan ini kepada semua rakan sepasukan saya.
Argentina menewaskan Brazil 1-0 dalam perlawanan akhir di Rio de Janeiro ketika Messi memenangi kejuaraan utama bersama negaranya buat kali pertama. Dia juga menjaringkan 38 gol dalam 48 perlawanan pada musim terakhirnya bersama Barcelona dan memenangi Copa del Rey.
Sementara itu, anugerah pemain terbaik wanita menjadi milik bintang tengah Sepanyol, Alexia Putellas yang membawa Barcelona muncul juara dalam saingan Liga Juara-Juara. – AFP