Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Messi gagal cipta keajaiban

    FORT LAUDERDALE, 31 OGOS – Impian besar Lionel Messi untuk mengemudi Inter Miami mara ke playoff Major League Soccer (MLS) berdepan halangan pertama apabila pasukannya dipaksa seri tanpa jaringan dengan Nashville di laman sendiri kelmarin.

    Sebaliknya FC Cincinnati mengetuai kemaraan ke playoff dengan kemenangan 2-1 di Atlanta menerusi dua gol babak pertama Luciano Acosta dan Brandon Vazquez sekalipun tuan rumah mendahului seawal minit ke-10 menerusi Edwin Mosquera.

    Kemenangan itu adalah yang pertama buat Cincinnati di Stadium Mercedes-Benz dan membolehkan pendahulu Eastern Conference itu mengumpul 57 mata sekali gus muncul pasukan pertama layak ke playoff Piala MLS dengan berbaki lapan perlawanan.

    Sementara Miami menyukarkan lagi impian mereka untuk layak ke playoff apabila mereka diikat tanpa jaringan buat kali pertama dalam 10 perlawanan di bawah era Messi.

    Bintang Argentina itu meledak 11 gol dalam sembilan penampilan sejak menyertai Inter Miami termasuk sepanjang laluan mereka menjuarai Piala Liga-Liga, pada separuh akhir Piala Terbuka AS dan penampilan sulungnya dalam MLS musim ini di New York pada Sabtu lalu.

    Bebanan berat diletakkan di bahunya mungkin akhirnya menjerat diri hari ini kerana dia gagal melakukan keajaiban sekali lagi di hadapan penonton di Stadium DRV PNK yang turut dihadiri petinju hebat, Floyd Mayweather dan Presiden FIFA, Gianni Infantino.

    Keputusan seri itu menyaksikan Miami dipisahkan 10 mata berbanding tempat ke playoff dengan berbaki 10 perlawanan.

    Mereka akan bertembung dengan juara Piala MLS, Los Angeles FC Ahad ini. – AFP

    Lionel Messi (kanan) bersaing mendapatkan bola dengan Jack Maher semasa perlawanan di antara Inter Miami dan Nashville di Stadium DRV PNK di Fort Lauderdale, Florida pada 30 Ogos. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda