MADRID, 30 April – Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde gembira apabila pasukan itu ‘akhirnya’ melengkapkan gelaran La Liga ke-25 dengan baki empat perlawanan, selepas hatrik Lionel Messi yang membenam Deportivo La Coruna 4-2, awal pagi tadi.
Anak buah Valverde menjulang gelaran liga dan piala selepas membelasah Sevilla 5-0 pada perlawanan akhir Piala Raja Sepanyol minggu lalu, merampas gelaran Sepanyol daripada Real Madrid dan menyingkirkan Deportivo.
“Apabila anda memburunya untuk sekian lama, anda akan katakan ‘akhirnya’,” katanya kepada media tempatan Sepanyol.
“Saya sungguh gembira kerana pada akhirnya liga ini terlalu lama, ia bermula pada Ogos dan sebaik musim bunga tiba, semuanya sudah ditentukan, kami melepasi semua halangan.
“Kami mengejar gelaran ini sejak mula lagi, kami berada di depan, kami berakhir dengan baik menerusi margin yang besar. Ini La Liga pertama yang saya menangi.”

Satu-satunya kegagalan kelab Catalan itu musim ini adalah kekalahan kepada Roma pada suku akhir Liga Juara-Juara apabila mereka mensia-siakan kelebihan 4-1.
“Penyingkiran (oleh Roma) itu sedikit menjejaskan kami kerana ia tidak diduga, namun pencapaian kami boleh dianggap luar biasa,” tambah Valverde.
“Pastinya akan ada alasan kecil tetapi kami akan cuba lagi tahun depan.”
Barca sedar mereka perlu melebarkan rekod tanpa kalah di La Liga kepada 41 perlawanan untuk menjulang tujuh gelaran dalam 10 musim dan Philippe Coutinho memberikan mereka gol pendahuluan.
Rembatan voli daripada Messi pada minit ke-38 menjadikannya dua gol namun Lucas Perez merapatkan jurang buat Deportivo sebelum separuh masa dan pemain sayap dari Turki, Emre Colak mengejutkan Barca dengan gol penyamaan pada separuh masa kedua.
Barca akhirnya menundukkan kedegilan pasukan tuan rumah apabila Messi bergandingan dengan Luis Suarez untuk gol keduanya sebelum melengkap trebel La Liga ke-30 peribadinya pada perlawanan itu. – AFP