Messi julang Barca, benam Villareal

MADRID, 28 SEPT – Lionel Messi menjaringkan gol pertamanya sejak cuba meninggalkan Barcelona semasa Ronald Koeman memulakan perjalanannya selaku pengurus dengan mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Villarreal kelmarin dalam saingan La Liga.

Ketua pasukan Barca, Lionel Messi yang menyempurnakan sepakan penalti 10 minit sebelum wisel separuh masa pertama dibunyikan, kemudian hantaran lintang penyerang Argentina itu telah memaksa Pau Torres melakukan kesilapan dan menjaringkan gol sendiri. Sebelum itu pemain berusia 17 tahun Ansu Fati telah meletakkan Barcelona di hadapan.

Sementara itu Luis Suarez, yang meninggalkan kelab pada Khamis, memulakan perlawanan sulungnya bersama Atletico Madrid dengan mencatat dua gol dalam kemenangan 6-1 menentang Granada.

Dalam ucapan selamat tinggalnya kepada rakan baik dan bekas jirannya minggu lalu, Messi sekali lagi membidas lembaga Barcelona dengan mengatakan dia tidak terkejut dengan cara pemergian Suarez ditangani.

Aduannya telah meningkatkan keraguan mengenai fikirannya mengharungi musim ini dan mengakhiri musim panas yang penuh trauma di mana pemain terbaik sepanjang zaman Barca itu mengakui bahawa dia telah dipaksa untuk kekal di luar kemahuannya.

Aksi Lionel Messi cuba melepaskan kawalan pemain pertahanan Villareal dan membantu Barcelona mencatat kemenangan selesa. – AFP

Koeman menegaskan pada Sabtu bahawa Messi telah ‘menunjukkan contoh terbaik’ dalam latihan dan keyakinannya telah dibaharui di Camp Nou, di mana penyerang, dan juga ketua pasukan kelab itu telah menunjukkan persembahan yang cemerlang.

“Ia sangat penting untuk memenangi perlawanan pertama, anda akan dapat keyakinan,” kata Koeman.

“Keputusan ini membantu kamu untuk memperbaiki dan mencerahkan apa yang kami inginkan.”

Messi yang berang dengan keputusan menjual Suarez dan menunjukkan dia masih tidak berbaik dengan presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu serta masa depannya kekal tidak menentu, tetap melakukan yang terbaik apabila beraksi di atas padang. – AFP