Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Messi kecewa gagal rebut piala bersama PSG

    PARIS, 25 JUN – Lionel Messi menyifatkan permulaannya di bekas kelab Paris Saint-Germain (PSG) sebagai ‘sangat sukar’ dan menyifatkan dua kegagalan berturut-turut dalam usaha merebut piala Liga Juara-Juara sebagai ‘kekecewaan besar.’

    “Saya datang ke Paris kerana saya suka kelab itu, kerana saya mempunyai kawan di bilik persalinan… nampaknya lebih mudah untuk saya menyesuaikan diri berbanding destinasi lain yang saya boleh pergi,” kata Messi kepada beIN Sports dalam satu temu bual yang disiarkan hari ini.

    “Hakikatnya, sangat sukar untuk menyesuaikan diri, jauh lebih sukar daripada yang saya jangkakan, dengan pelan permainan baharu, rakan sepasukan baharu dan bandar baharu.
    “Saya datang lewat, saya tidak mempunyai pra-musim. Permulaan sukar bagi saya dan keluarga saya,” ujar Messi.

    Messi, 36, menandatangani kontrak dengan PSG pada musim panas 2021 selepas 17 musim di Barcelona, tetapi kini menuju ke Inter Miami di MLS selepas meninggalkan ibu kota Perancis itu.

    Musim pertama Messi, di mana dia menjaringkan 11 gol dalam 34 perlawanan untuk PSG, menjadi lebih sukar selepas dia dijangkiti COVID semasa cuti musim sejuk di Argentina, bermakna dia diketepikan selama sebulan.

    “Saya memerlukan masa untuk mendapatkan semula kecergasan fizikal saya,” akuinya, sambil menambah bahawa Piala Dunia 2022 di Qatar, yang dimenangi Messi bersama Argentina juga memberikan tekanan kepadanya.

    Messi mengakui kekalahan Liga Juara-Juara kepada Real Madrid pada 2022 dan Bayern Munich musim ini adalah ‘kekecewaan besar.’

    Malah ada sebahagian daripada peminat PSG yang menyalahkan Messi, mengejak pemain itu dari tempat penonton. – AFP

    Lionel Messi tersenyum semasa perlawanan perpisahan Maximiliano Rodriguez di stadium Marcelo Bielsa di Rosario, Argentina, pada 24 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda