Messi kembali beraksi buat Barcelona

MADRID, 13 SEPT – Lionel Messi turun bermain selama 45 minit dalam perlawanan persahabatan pra musim Barcelona kelmarin tatkala Ronald Koeman tidak teragak-agak untuk memasukkan semula pemain Argentina ke dalam skuad.

Barcelona menewaskan pasukan dari divisyen tiga, Gimnastic Tarragona 3-1, dengan Ousmane Dembele menjaringkan gol pendahuluan dalam penampilan pertamanya sejak November lalu.

Antonie Griezmann dan Philippe Coutinho, yang pulang ke kelab selepas menamatkan tempoh pinjaman dari Bayern Munich, kemudiannya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti, manakala Javier Bonilla berjaya menjaringkan gol untuk merapatkan jurang buat pasukan pelawat.

Namun kepulangan Messi ke Stadium Johan Cruyff mungkin dilihat sebagai kepulangan terbesar buat Koeman, yang mengambil alih perlawanan pertama sejak dilantik sebagai pengurus bulan lalu.

Messi turut mengetuai pasukan dengan memakai lilitan tangan selepas Barcelona mengesahkan sebelumnya bahawa dia akan terus menjadi ketua pasukan pada musim ini.

Aksi Lionel Messi semasa perlawanan persahabatan pra musim. Messi telah bermain selama 45 minit dalam perlawanan tersebut dan dilihat sebagai kepulangan terbesar oleh pengurus Barca.- AP

Kedua-dua kelab dan pemain kelihatan bersungguh-sungguh untuk kembali bersatu, sekurang-kurangnya buat masa ini, menjelang bermulanya musim La Liga pada hujung bulan ini.

Selepas mengecam ahli lembaga minggu lalu dan mengakui bahawa dia telah dipaksa untuk tinggal, Messi tiba lebih awal pada Isnin untuk sesi latihan pra musim dan turun berlatih pada hari cuti skuad bagi membuat persediaan.

Koeman sementara itu berkata pada bulan lalu bahawa dia hanya mahu pemain yang ingin berada di Barcelona tetapi dia memuji Messi pada Jumaat, dengan menggelarnya ‘yang terbaik’ dan menyokongnya dalam pemilihan pasukan pertamanya.

Messi bermain selama 45 minit sebagai sebahagian perancangan Koeman untuk menurunkan dua pasukan yang berbeza dalam setiap separuh masa.

Tetapi pemain penyerang yang diturunkan semasa permulaan permainan, Messi, Griezmann dan Dembele, dilihat sebagai penyerang pilihan utama Koeman, dengan Dembele membuat penampilan pertama sejak mengalami masalah kecederaan sembilan bulan lalu.- AFP