Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Messi kembali berbisa

    MADRID, 30 OKT – Kejayaan Lionel Messi (gambar bawah) menyumbat dua gol dan merancang dua lagi jaringan Barcelona dalam kemenangan 5-1 ke atas Real Valladolid semalam membuktikan beliau menemui semula magisnya.

    Messi menjaringkan gol melalui tendangan percuma di Camp Nou selepas hantaran menariknya dicatuk Arturo Vidal untuk gol kedua Barca. Dia kemudian menjaringkan gol lewat kedua dan melorongkan bola ke arah Luis Suarez untuk gol kelima.

    Dua gol dan dua perancangannya itu hanya permulaannya dan prestasi mengagumkan dipenuhi gelecekan dan hantaran menarik sehingga berjaya merobek pertahanan lawan. Valladolid bermula garang apabila Kiko Olivas mendapat manfaat daripada kesilapan pelik Marc-Andre ter Stegen untuk menyamakan kedudukan setelah Clement Lenglet meledak pada minit kedua.

    Dalam keadaan yang cukup cergas, kehebatan Messi tidak pernah diragui dan kemenangan itu membawa Barcelona kembali ke puncak La Liga selepas Atletico Madrid terikat seri 1-1 dengan Alaves beberapa jam sebelum ini.

    Pasukan Valverde kini memenangi tujuh perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan, bermula dengan membenam Villarreal pada 24 September ketika Messi baharu sahaja kembali daripada kecederaan untuk membuat permulaan awal musim ini. Selain memerlukan masa, dia juga mengakui awal bulan ini masih kurang tajam ketika menentang Sevilla, Eibar dan Slavia Prague.

    Persembahan hari ini menghantar mesej jelas bahawa Messi kembali kepada rentak terbaik dengan Valverde pula merasakan ada lagi yang lebih bagus bakal menjelma daripada pemain terbaik dunia itu.

    Valladolid pula agak malang kerana pemain berusia 32 tahun itu bertambah cergas selepas Clasico pada Sabtu ditangguhkan dan ini bermakna Barcelona dan Real Madrid mendapat cuti pada hujung minggu. – AFP

    Messi merembat bola ketika menentang Valladolid, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda