Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Messi kembali berlatih selepas kecederaan buku lali

    FORT LAUDERDALE, 29 OGOS – Lionel Messi kembali menjalani latihan berkumpulan bersama Inter Miami kelmarin, lebih enam minggu selepas kapten Argentina itu meninggalkan perlawanan akhir Copa America dengan kecederaan pergelangan kaki kanan yang terseliuh teruk.

    Masih tidak ada jadual rasmi bila Messi, pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu akan bermain semula untuk Inter Miami yang mempunyai rekod terbaik dalam Major League Soccer (MLS) setakat musim ini. Inter Miami akan mengunjungi Chicago pada Sabtu dan tidak kembali ke saingan MLS sehingga perlawanan pada 14 September menentang Philadelphia. Jika Messi tidak beraksi hujung minggu ini, itu bermakna dia akan mempunyai dua minggu lagi untuk meneruskan pemulihan sebelum kembali beraksi.

    Messi tidak dipilih oleh Argentina untuk bermain dalam kelayakan Piala Dunia pada awal September.

    “Untuk melihatnya di atas padang adalah sesuatu yang hebat,” kata penjaga gol Inter Miami, Drake Callender selepas latihan kelmarin. “Saya tahu dia telah mendapatkan rawatan setiap hari, berlatih setiap hari. Dia telah menghadapi cabaran sebelum ini. Dia telah melalui semuanya dan masih melakukannya pada tahap yang tertinggi. Melihat dia pulih daripada kecederaan yang kami lihat di Copa America dan bersedia beraksi musim ini, ia menunjukkan kualiti penjagaan yang kami ada di sini.”

    Messi mempunyai 12 gol dan 13 assists dalam 12 perlawanan MLS bersama Inter Miami musim ini. Dia terlepas 14 perlawanan liga kelab itu, termasuk setiap satu daripada lapan perlawanan terakhir kerana bermain untuk Argentina atau sedang pulih daripada kecederaan buku lali. – AP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda